suria

Klinik Khas Mangsa Rogol Lelaki Di Sweden

STOCKHOLM: Ke arah usaha kesamarataan jantina dalam penjagaan pesakit, sebuah hospital di Sweden mewujudkan klinik khas untuk lelaki yang menjadi mangsa rogol dan serangan seksual.

Perkhidmatan yang pertama seumpamanya di negara itu dan mungkin juga di dunia ini beroperasi di Hospital  Södersjukhuset di wilayah Nordic.

Sebelum ini, hospital sama yang menubuhkan klinik khas untuk wanita yang menjadi mangsa rogol mengendalikan antara 600 dan 700 pesakit dalam masa setahun.

Susulan sambutan menggalakkan yang diterima, hospital yang menjadi pusat penjagaan kecemasan terbesar itu membuka pintu kepada lelaki dan remaja yang menjadi mangsa rogol dan serangan seksual menerima rawatan serta perlindungan.

Sementara itu, wakil pihak berkuasa tempatan berkaitan penjagaan kecemasan,  Marie Ljungberg Schott  berkata, penjagaan perubatan kecemasan untuk lelaki dirogol adalah percuma dan ditawarkan sepanjang masa.

"Setakat ini tidak ada tempat khusus untuk lelaki yang menjadi mangsa rogol untuk mendapatkan rawatan dan perlindungan.  Oleh itu kami membuat keputusan untuk mengubah keadaan ini." katanya.

Akhbar The Local memetik jurucakap media Parti Liberal, Rasmus Jonlund sebagai berkata, walaupun tidak pasti bilangan yang akan menggunakan perkhidmatan itu, bagaimanapun pihaknya percaya akan ada yang tampil untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, rekod Majlis Pencegahan Jenayah Sweden, pada 2014, mendapati 370 kes-kes serangan seksual terhadap lelaki atau kanak-kanak lelaki dilaporkan di seluruh Sweden.


Sweden, rogol, Nordic

Artikel Sebelum

Artikel Lain