suria

86 Maut Letupan Pada Perhimpunan Aman Di Turki

ANKARA: Sekurang-kurangnya 86 orang terbunuh selepas dua letupan berlaku semasa perhimpunan aman anti kerajaan di Ankara pada Sabtu, lapor agensi berita AFP.

Menteri Kesihatan, Mehmet Muezzinoglu memberitahu pemberita di Ankara bahawa seramai 62 orang maut di tempat kejadian manakala 24 lagi meninggal dunia ketika dihantar ke hospital.

Beliau berkata, 186 orang lagi cedera dalam serangan itu.

Kejadian dikatakan berlaku pada pukul 10.05 pagi ketika ratusan peserta perhimpunan sedang berarak dan tiba di persimpangan jalan di ibu negara Turki itu.

Kerajaan negara itu percaya letupan berkenaan merupakan angkara serangan pengganas.

"Kami mengesyaki terdapat kaitan pengganas," kata seorang pegawai kerajaan yang enggan dikenali.

Berikutan serangan berkenaan Presiden Turki, Erdogan membatalkan lawatan ke Istanbul.

Letupan yang belum diketahui punca itu dipercayai dilakukan oleh pengebom berani mati.

Perhimpunan itu dilakukan bagi membantah konflik yang timbul antara kerajaan dengan militan Kurdish yang tinggal di tenggara negara itu.

Ankara, Turki, Kurdish

Artikel Lain