suria

Singapura Hantar Pasukan Bantuan Tangani Masalah Jerebu Di Indonesia

Helikopter jenis Chinook milik Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) serta 34 anggota pasukan bagi membantu memadam kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia. Foto AFP

SINGAPURA: Singapura pada Sabtu menghantar sebuah helikopter jenis Chinook milik Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) serta 34 anggota pasukan bagi membantu memadam kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia.

Ini berikutan keputusan Indonesia menerima tawaran kerajaan Singapura untuk membantu menangani masalah jerebu ekoran kebakaran terbuka ladang dan hutan di kawasan Sumatera dan Kalimantan di Indonesia.

Pihak berkuasa Singapura berkata, pasukan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) itu diiringi oleh enam anggota Pasukan Bantuan Bencana dan Penyelamat (DART) daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Ia berkata helikopter Chinook itu, yang dilengkapi baldi dengan muatan 5,000 liter air, berlepas dari Pangkalan Udara Sembawang pada pukul 12.30 tengah hari.

Selain itu, dua pesawat RSAF jenis C-130 turut berlepas dari pangkalan tersebut dengan membawa anggota SAF dan SCDF serta peralatan dalam operasi bantuan tersebut.

Panglima RSAF, Major Jeneral Hoo Cher Mou turut berada di pangkalan udara itu untuk mengucapkan selamat jalan kepada pasukan bantuan itu. - Bernama

jerebu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain