suria

Penduduk Selatan Thai Suarakan Masalah Jerebu Kepada Indonesia

SONGKHLA: Penduduk Songkhla yang mula terjejas dengan keadaan jerebu yang melanda selatan Thailand pada Selasa menghantar surat bantahan kepada Indonesia.

Surat itu diserahkan pagi Selasa kepada Konsul Bahagian Masyarakat dan Budaya di Konsulat Indonesia di Songkhla, Wanney Fabiomata oleh Banchorn Vichiangsri yang mengetuai 20 wakil jaringan badan pembangunan swasta atas nama 'Warga Kota Hatyai-Songkhla yang terjejas dengan jerebu dari Indonesia'.

Mereka turut berhimpun selama setengah jam di hadapan konsulat itu.

Antara kandungan surat yang ditulis dalam Bahasa Thai tersebut menyatakan masalah jerebu akibat pembakaran hutan di Sumatera yang mula melanda Thailand beberapa hari lepas telah menjejaskan kesihatan penduduk.

"Kanak-kanak, warga emas dan tidak terkecuali anak muda mengalami masalah penyakit pernafasan dan penyakit alahan asap (jerebu). Mereka tidak tahu nasib mereka dan adakah masalah jerebu ini akan ada kesudahannya.

"Kami atas nama penduduk yang terjejas akibat jerebu dari Indonesia setiap tahun merayu supaya anda berkomunikasi dengan kerajaan anda supaya menyedari dan bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah tersebut dengan penuh komitmen. 

"Hanya kerajaan Indonesia sahaja yang mengetahui punca dan cara penyelesaian masalah tersebut," demikian menurut surat itu.

Bacaan Indeks Udara di tujuh wilayah selatan pada jam 9 pagi Selasa adalah Satun (210), Songkhla (163) dan Phuket (136) berada pada tahap bahaya manakala Pattani (102), Yala (97), Narathiwat (72) dan Surat Thani (59) mencatat bacaan sederhana. - BERNAMA

Songkhla, jerebu, Indonesia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain