suria

Gegaran Bermagnitud Empat Landa Kathmandu

KATHMANDU: Empat gegaran susulan melanda Kathmandu serta daerah sekitarnya awal pagi Khamis, yang menimbulkan perasaan cemas dalam kalangan penduduk yang sedia dicengkam ketakutan.

Orang ramai segera berkumpul di jalan raya apabila gempa berukuran empat pada skala Ritcher dengan pusat gempa di Kathmandu itu berlaku sejurus selepas subuh.

Pusat Seismologi Kebangsaan (NSC) berkata ia merupakan gegaran susulan daripada gempa bumi dahsyat berukuran 7.9 pada skala Ritcher yang berlaku pada 25 April.

Lima gegaran susulan turut berlaku pada Rabu, kata pusat itu.

Gegaran susulan melanda Nepal setiap hari selepas berlakunya gempa bumi dahsyat itu yang meragut sekurang-kurangnya 8,600 nyawa dan mencederakan 21,000 orang.

Lebih 30,000 gegaran susulan direkodkan setakat ini selepas kejadian pada 25 April itu, 281 daripadanya berukuran melebihi empat pada skala Ritcher, kata NSC.

Berikutan gegaran susulan yang terus berlaku, kehidupan penduduk masih belum kembali seperti biasa, walaupun sudah sebulan berlakunya gempa bumi dahsyat itu.

Sesetengah penduduk masih takut untuk kembali ke rumah masing-masing dan terus tinggal di dalam khemah di kawasan lapang.

Lebih setengah juta rumah rosak, dengan hampir 100,000 musnah sama sekali, termasuk 5,000 bangunan sekolah.

 Kerajaan Nepal berjanji akan siap melaksanakan pembinan semula dalam masa tiga tahun dan memohon sokongan kewangan daripada pertubuhan antarabangsa.

Menurut Pejabat Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu, kira-kira lapan juta orang terjejas oleh gempa bumi itu, 1.4 juta daripadanya memerlukan bantuan makanan.

Kathmandu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain