suria

Pengebom Maraton Boston Dihukum Suntikan Maut

Dzhokhar Tsarnaev dikenakan hukuman suntikan maut kerana didapati bersalah mengakibatkan tiga kematian dan ratusan cedera pada maraton di Boston 2013.

BOSTON: Selepas 15 jam berbincang pada Jumaat, akhirnya barisan juri Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk mengenakan hukuman mati dengan suntikan terhadap pengebom maraton di Boston, Dzhokhar Tsarnaev.

Jemaah juri di Mahkamah Massachusetts berpendapat lelaki berusia 21 tahun itu bersalah kerana bersubahat dalam serangan pada 2013 yang mengorbankan tiga nyawa, manakala 264 yang lain cedera.

Juri persekutuan itu juga menetapkan penjara seumur hidup tanpa pembebasan sebagai pilihan lain.

Ahli juri turut mendapati Tsarnaev bersalah bulan lalu atas kesalahan meletakkan bom periuk nasi yang diubahsuai pada 15 April 2013, selain melepaskan tembakan ke arah polis.

Kejadian letupan bom tersebut juga merupakan kes berprofil tinggi selepas serangan udara terhadap AS pada 11 September 2001.

Sepanjang 10 minggu, ahli juri mendengar hampir 150 testimoni oleh saksi kejadian termasuk mangsa yang kehilangan kaki akibat letupan bom tersebut.

Pendakwa menyifatkan Tsarnaev sebagai seorang penyokong militan Al-Qaeda dengan melakukan serangan sebagai tindakan pembalasan terhadap kempen ketenteraan AS di beberapa negara yang majoritinya penduduk Islam.

Peguam bela tertuduh berkemungkinan akan mengemukakan rayuan dan kes itu dijangka boleh berlarutan lebih lama, sekali gus hukuman ke atas Tsarnaev mungkin tertangguh.

Sementara itu, seorang mangsa yang mengalami kecederaan teruk pada kaki kirinya, Karen Brassard berkata: "Kehidupan saya masih jauh ke hadapan lagi. Hari ini kita boleh menarik nafas segar, serta hari-hari seterusnya."

Sementara itu, rayuan yang dilakukan akan memberi tumpuan kepada beberapa isu, termasuk penafian mahkamah terhadap rayuan pembelaan untuk membawa kes itu ke luar Boston, keengganan  mencabar gambaran grafik serta rakaman video letupan bom yang ditayangkan kepada ahli juri dan kecederaan yang dialami mangsa. 



Boston, Dzhokhar Tsarnaev, bom

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain