suria

Penumpang Dikejutkan Tiada Tisu Tandas Dalam Pesawat

PENUMPANG pesawat Ryanair dari Murcia, Sepanyol ke London dikejutkan dengan pemberitahuan kru kabin bahawa tisu tandas tidak akan disediakan dalam pesawat sepanjang penerbangan selama tiga jam.

Portal Mail Online melaporkan para penumpang dimaklumkan oleh kru kabin syarikat penerbangan tambang rendah itu membuat pengumuman tersebut semasa membuat demonstrasi keselamatan sebelum pesawat berlepas.

Penumpang turut dimaklumkan bahawa tiada susu yang disediakan sepanjang penerbangan ke Lapangan Terbang Stansted, London pada Ahad minggu lepas.

Salah seorang penumpang bagi penerbangan itu, Shaun O'dea memberitahu The Sun: "Semua penumpang terkejut dengan pemberitahuan itu. Pergi ke tandas merupakan satu keperluan asas. Ia (tiada tisu tandas) benar-benar menyeksakan."

Seorang jurucakap Ryanair memberitahu MailOnline Travel: "Perkara ini amat jarang berlaku dan kekurangan stok (tisu) amat dikesali (dalam penerbangan terakhir pada malam Ahad minggu lalu). Ia berpunca daripada kegagalan ejen kami di Murcia untuk menghantar stok tisu tandas dan paket susu yang telah pun dibuat pesanan untuk penerbangan pergi balik di Murcia.

"Kru kami telah memberikan penjelasan kepada para penumpang dan kami memberikan keutamaan untuk tiba di London tepat pada waktunya daripada perlu menunggu untuk penghantaran stok berkenaan sekali gus akan menyebabkan kelewatan penerbangan.

"Penumpang kami amat memahami perkara ini dan kami memohon maaf di atas sebarang kesulitan," katanya. - MAIL ONLINE

Ryanair

Artikel Lain