suria

Gempa Nepal: Angka Kematian Lebih 6,800 Orang

Runtuhan bangunan akibat gempa bumi yang melanda Nepal pada 25 April lalu sehingga kini mengorbankan lebih 6,800 orang.

KATHMANDU: Jumlah kematian akibat gempa bumi di Nepal terus meningkat hingga mencecah 6,814 orang sehingga malam Sabtu.

Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan (NEOC) Kementerian Dalam Negeri Nepal menyatakan selain itu, bilangan mangsa yang cedera bertambah kepada 14,089 orang manakala 315,556 buah rumah rosak akibat gempa bumi itu yang menggegarkan Nepal pada 25 April lepas.

Bagaimanapun, jumlah kematian dijangka terus meningkat memandangkan pasukan penyelamat menemui lebih banyak mayat mangsa, kata jurucakap Menteri Dalam Negeri, Laxmi Prasad Dhakal.

Kerajaan menjangka angka kematian melebihi 10,000 orang. 

Sementara itu, sekurang-kurangnya 4,500 sekolah dan 699 pos kesihatan  musnah akibat gempa bumi itu, kata NEOC.

Bagaimanapun, Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan di Asia dan Pasifik (UNOCHA) menganggarkan sebanyak 16,000 sekolah mungkin mengalami kerosakan akibat gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter itu.

Antara yang rosak ialah sekolah-sekolah kerajaan dan swasta di 29 daerah di bahagian tengah dan barat Nepal dengan lebih 50 peratus daripada bangunannya tidak boleh dibaiki.

Tahap kerosakan di semua daerah sedang dinilai namun laporan awal dari daerah-daerah terbabit menunjukkan  sebahagian besar sekolah musnah sama sekali atau rosak teruk akibat gempa bumi, kata badan PBB itu.

Purna Chandra Adhikari, setiausaha bersama di Kementerian Dalam Negeri, berkata perangkaan sebenar hanya boleh diberikan selepas penilaian terperinci dibuat mengenai keadaan semua sekolah di kawasan dilanda gempa bumi.

"Kami menganggarkan sekurang-kurangnya 4,500 bangunan sekolah telah rosak sepenuhnya atau sebahagiannya," kata beliau.

Berpuluh-puluh ribu pelajar terjejas secara langsung akibat kerosakan sekolah dan ini boleh memberi impak jangka panjang kepada pendidikan di Nepal, menurut laporan UNOCHA.

Di daerah Gorkha sahaja, sebanyak 90 peratus daripada 500 sekolah rosak hingga menjejaskan lebih 75,000 pelajar, kata Save the Children. 

Dalam pada itu, sebanyak 699 pos kesihatan di daerah-daerah yang dilanda gempa bumi turut rosak.

Nepal

Artikel Berikut

Artikel Lain