suria

MH17: Belanda Komited Untuk Tahan Pihak Tembak Pesawat MAS

THE HAGUE: Kerajaan Belanda komited untuk menahan pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) sehingga mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.

Boeing 777-200ER itu telah ditembak jatuh ketika pertempuran berlaku di timur Ukraine pada Julai tahun lalu.

Pihak Kiev dan barat telah membuat dakwaan bahawa puak pemisah telah menggunakan peluru berpandu yang dibekalkan oleh Rusia ketika menembak pesawat berkenaan.

Rusia bagaimanapun menyangkal dakwaan tersebut dan 'menuding jari' kepada Kiev mengenai perkara itu.

Menurut Menteri Keadilan Belanda, Ard van der Steur, pihaknya kini berada dalam peringkat terakhir bagi misi repatriasi dan pasukan penyiasat serta pendakwa akan menduduki tempat yang lebih penting untuk tindakan selanjutnya.

Van der Steur dan Menteri Luar Belanda, Bert Koenders bertemu di luar sidang kemuncak keselamatan siber di The Hague bersama dengan perwakilan dari negara-negara yang terjejas, termasuk Malaysia, Australia dan juga Ukraine.

Belanda telah menerajui siasatan untuk mencari punca kejadian serta mengenal pasti mangsa penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu.

Laporan awal yang dikeluarkan pada September tahun lalu menerangkan pesawat tersebut berkemungkinan musnah di udara akibat kerosakan struktur pesawat kerana ditembusi oleh objek bertenaga tinggi.

Pihak penyiasatan Belanda telah menemui serpihan badan pesawat di lokasi kejadian yang sebelum ini tidak boleh dimasuki kerana pertempuran antara puak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.

Pentempuran antara dua pihak tersebut semakin berkurangan berikutan genjatan senjata pada Februari lalu dan memberi peluang kepada para penyelidik untuk meneruskan kerja-kerja mereka.

Operasi menyelidik kawasan kejadian dibuat di Petropavlivka, 10 kilometer barat Grabove - merupakan lokasi sebahagian besar daripada serpihan pesawat tersebut jatuh.

Jurucakap Jabatan Kehakiman, Jean Fransman berkata misi yang dijalankan ini berjaya menemui anggota badan mangsa-mangsa serta barangan peribadi mereka.

"Penduduk tempatan juga telah memulangkan barangan peribadi mangsa seperti barang kemas yang dijumpai kepada anggota misi.

"Anggota misi telah menemui anggota badan, barangan peribadi, sertai bangkai pesawat semasa  pencarian yang dibuat tahun lalu," kata Fransman.

Setakat ini hanya dua mangsa warga Belanda yang telah dikenal pasti.

Belanda, MH17, Ukraine

Artikel Lain