suria

Kenyataan 'Parut Pembedahan Anak Cantik' Dapat Lebih Sejuta 'Like'

Gambar Carter Gentle yang dimuat naik bapanya di Facebook menerima lebih juta 'like' dalam masa hanya tiga hari.

SEORANG bapa yang penyayang mengeluarkan kenyataan mengenai 'parut pembedahan anaknya cantik' di Facebook demi mendapatkan semangat kepada anaknya yang menjalani banyak pembedahan, sehingga ia menarik perhatian ramai dan menjadi viral dengan lebih sejuta 'like', hanya dalam masa tiga hari.

Anaknya, Carter Gentle menderita penyakit jantung kongenital yang sehingga kini memerlukannya menjalani lima pembedahan jantung terbuka.

Portal berita Miror melaporkan akibat daripada beberapa pembedahan besar bagi mengubati masalah jantungnya, Carter mempunyai banyak parut di badan.

Keadaan itu membuatkan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu menangis selama 45 minit selepas melihat dirinya dengan badan berparut di hadapan cermin.

Bapa Carter, Mark, seorang pemuzik dari Maine, Amerika Syarikat (AS) memuat naik sekeping gambar anaknya dengan badan berparut, yang berhasrat untuk mendapatkan sokongan orang ramai bagi memulihkan semangat anaknya.

Dia menulis satu kenyataan di Facebook pada Sabtu lalu: "Kami sedikit bimbang untuk menyiarkannya (gambar) tetapi saya merasakan ia adalah penting.

"Carter menanggalkan balutan di kawasan pembedahan di badannya, pagi ini.

"Dia menangis selama 45 minit selepas melihat beberapa parut di badannya.

"Dia kata dia bimbang sekiranya orang akan fikir dia hodoh.

"Sebagai ibu bapanya, amat sukar untuk mendengar perkara itu.

"Kami beritahu dia bahawa parut di badannya cantik dan membuatkan dia kelihatan seperti superhero.

"Berapa banyak 'like' untuk Carter memperoleh keberaniannya?

"Dialu-alukan untuk berkongsi. #CartersSong #HeartHeroes #CHD."

Dua hari selepas mengeluarkan kenyataan tersebut di Facebook, Mark meluahkan rasa terharu apabila dia memperoleh lebih sejuta 'like' dan ia dikongsi hampir 100,000 kali oleh orang ramai di seluruh dunia.

Beliau pada Isnin lalu menulis: "Lebih sejuta like dan jumlah itu terus meningkat!

"Saya amat terharu sehingga menitiskan air mata.

"Saya menyiarkan gambar itu dengan tujuan bahawa adalah baik buat Carder bagi membangkitkan keyakinannya dan inilah yang berlaku.

"Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi berkongsi.

"Saya mohon maaf kepada mana-mana komen yang tidak berkesempatan untuk dibalas kerana saya mempunyai 50,000 komen dan 3,000 mesej.

"Percayalah, setiap komen anda dibaca dan amat dihargai. Semoga anda semua diberkati.

Seorang penyokong, Jackie Winstel menulis di Facebook: "Parut adalah 'survivor'. Banggalah.

"Anda cantik di dalam dan di luar."

Seorang lagi penyokong, Christina Weinberger berkata: "Carter, anda sememangnya rupawan.

"Anda adalah kanak-kanak yang paling kuat dan berani di dunia." - MIRROR

Artikel Lain