suria

Pesawat Berpatah Balik, Pekerja Tertidur Dalam Ruang Kargo

Pesawat Alaska Airlines terpaksa berpatah balik sebaik berlepas apabila juruterbang terdengar ketukan pada lantai pesawat berkenaan.

SEATTLE: Penerbangan pesawat Alaska Airlines ke Los Angeles terpaksa berpatah balik ke sini selepas seorang pekerja dilaporkan tertidur dan terperangkap dalam ruang kargo pesawat berkenaan.

Penerbangan 448 itu baru saja berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma pada tengah hari apabila juruterbang terdengar ketukan dari bahagian lantai pesawat.

Dalam kenyataan media, syarikat penerbangan itu menyatakan juruterbang pesawat berkenaan terus berpatah balik dan mengisytiharkan kecemasan untuk mendarat.

Selepas pesawat itu mendarat, pekerja terbabit ditemui di ruang hadapan bahagian kargo di mana tekanan udara dan suhu dikawal.

Menurut syarikat itu, seorang kakitangan Menzies Aviation memberitahu, lelaki berkenaan tertidur dalam pesawat berkenaan ketika bertugas.

Pekerja yang dalam keadaan baik itu bagaimanapun dihantar ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

Alaska Airlines masih menyiasat kejadian itu. - AP


Alaska Airlines, Seattle, kargo

Artikel Lain