suria

IS Serang Kedutaan Korea Selatan: Dua Maut, Seorang Cedera

Kesan tembakan pada pos pengawal keselamatan akibat serangan IS yang mengorbankan dua orang dan mencederakan seorang pengawal keselamatan di Kedutaan Korea Selatan, Ahad.

DUA terkorban, manakala seorang lagi cedera dalam serangan di pejabat Kedutaan Korea Selatan di Tripoli, Libya yang dikuasai militan Negara Islam (IS).

Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri Libya, lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan ke pekarangan kedutaan itu dari kereta yang dinaiki.

Sumber keselamatan di lokasi memberitahu, dua mangsa, masing-masing yang terkorban dan cedera adalah pengawal keselamatan yang bertugas di situ.

Susulan kejadian itu, operasi kedutaan tersebut telah ditutup.

Pegawai di Kementerian Dalam Negeri, Mabruk Abu Zaheir menjelaskan, kejadian tersebut mengorbankan seorang pengawal dan seorang penduduk awam, manakala seorang lagi pengawal cedera parah.

Kementerian Luar di Seoul yang mengesahkan serangan itu berkata, tiga wakil Korea Selatan termasuk dua diplomat yang bekerja disitu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kami tidak pasti sama ada serangan yang dilakukan menyasarkan  pihak kedutaan atau pegawal keselamatan Libya," kata pegawai kementerian yang tidak mahu namanya disiarkan.

Ketika ini, pihak kedutaan merancang untuk memindahkan semua kakitangan dari negara itu.

Menurut jurugambar di tempat kejadian, pos pengawal keselamatan dipenuhi lubang peluru akibat tembakan itu, tetapi bangunan kedutaan utama tidak terjejas.

Menurut Kumpulan Perisikan SITE, militan IS mengakui bertanggungjawab ke atas serangan yang dilakukan di Kedutaan Korea Selatan.

"Askar Khalifah di Tripoli membunuh pengawal di Kedutaan Korea Selatan," lapor pasukan pemantau yang memetik kata-kata militan IS di Twitter.

Kumpulan militan yang menjalankan pemerintahan kejam ke atas kawasan di Iraq dan Syria berjaya mengawal ketiga-tiga kawasan bersejarah Libya.

Bulan lalu, empat warga Filipina, seorang warga Austria serta empat warga asing lain diculik semasa serangan ke atas kawasan minyak Al-Ghani oleh pihak IS dan membunuh lapan pengawal Libya keselamatan yang ditugaskan melindungi kawasan tersebut.


Tripoli, Korea Selatan, IS

Artikel Lain