suria

Pemain Bola Sepak Dicekik Guna Wayar Fon Kepala Dalam Pesawat

Oliver Minatel diserang oleh penumpang lain menggunakan wayar fon kepala semasa dalam penerbangan Air Canada.

SEORANG pemain bola sepak Kanada diserang oleh seorang penumpang menggunakan wayar fon kepala semasa sedang tidur dalam pesawat.

Mirror melaporkan pemain Ottawa Fury FC, Oliver Minatel, 32, dicekik di bahagian leher menggunakan wayar fon kepala ketika penerbangan Air Canada Jazz dari Toronto ke Atlanta pada Jumaat.

"Dia menyerang saya," kata Minatel kepada wartawan CNN, Paula Newtown, yang turut berada di dalam pesawat itu.

Ketika kejadian, penyerang itu duduk di belakang kerusi Minatel.

Jurulatih pasukan, Marc Dos Santos menyedari seorang lelaki mencekik Minatel menggunakan wayar fon kepala.

Minatel bernasib baik apabila penumpang lain dengan segera menghentikan tindakan penyerang itu.

"Awak tahu ia seperti adegan dalam filem. Ia merupakan saat yang agak menakutkan juga," kata Dos Santos.

Polis Atlanta dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) membawa dan menahan suspek keluar dari pesawat selepas ia mendarat.

Suspek kemudiannya dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan perubatan dan mental. - Mirror


Artikel Lain