suria

Dua Juruterbang Air India Digantung Tugas Selepas Bergaduh Dalam Kokpit

DUA juruterbang Air India digantung tugas selepas kedua-dua mereka dilaporkan bergaduh di dalam kokpit pesawat sejurus sebelum berlepas.

Portal Daily Mail melaporkan perbalahan itu melibatkan kapten dan pembantu juruterbang semasa pesawat itu sedang membuat persiapan untuk penerbangan selama 50 minit dari Delhi ke Jaipur malam Ahad. 

Memetik akhbar Times of India melaporkan seorang sumber bahawa pembantu juruterbang berkenaan berang selepas disuruh mencatat maklumat kritikal penerbangan seperti jumlah penumpang, berat untuk pelepasan pesawat dan jumlah minyak.

Tugas mereka digantung sementara siasatan dijalankan selepas kapten bagi penerbangan A1611 mengadu bahawa pembantu juruterbang berperangai buruk dan "menyerangnya", lapor Times of India.

Kapten juruterbang sepatutnya boleh membuat laporan berhubung insiden di Delhi, tetapi tindakan itu hanya menyebabkan penerbangan dibatalkan dan penumpang akan terkandas.

Beliau kemudiannya mengambil keputusan menerbangkan pesawat itu ke Jaipur sebelum memaklumkan tentang insiden tersebut kepada kakitangan Air India selepas mendarat.

Seorang jurucakap Air India memberitahu media: "Kedua-dua juruterbang itu telah digantung tugas. Satu siasatan dilakukan berhubung perkara ini."

Syarikat penerbangan itu bagaimanapun menegaskan tindakan penggantungan itu hanya terhad kepada pertengkaran mulut dan tidak melibatkan serangan fizikal. - DAILY MAIL


Air India

Artikel Lain