suria

Restoran Larang Pelanggan Kulit Hitam Diarah Ditutup

NAIROBI: Sebuah restoran makanan Cina di Nairobi, Kenya yang mencetuskan kontroversi kerana tidak membenarkan premis mereka dikunjungi pelanggan kulit hitam, diarahkan tutup selain disaman oleh pihak berkuasa.

Menurut beberapa laporan pada Rabu, tindakan premis yang bersifat berkauman itu menimbulkan kemarahan orang ramai terutama penduduk tempatan.

Restoran itu dikatakan mengeluarkan 'polisi' baharu yang tidak membenarkan pengunjung kulit hitam makan di premis berkenaan selepas pukul 5 petang.

Mereka kemudiannya membuat gesaan menolak dasar anti perkauman di media sosial dengan menggunakan hashtag #RacistRestaurant (restoran bersifat perkauman) dan #NoBlacksHere (tiada kulit hitam di sini).

Pemilik restoran itu berkata, peraturan baharu dibuat berikutan satu kejadian rompakan pada 2013 dan memohon maaf sekiranya tindakan itu menyinggung perasaan mana-mana pihak, lapor media Daily Nation.

Bagaimanapun dikatakan bahawa restoran Chongquing Chinese di ibu negara Kenya ditutup kerana tidak mempunyai lesen yang sah.

"Kami mendapati restoran itu tidak mempunyai lesen dan saya telah mengarahkannya supaya ditutup sehingga pihak pengurusan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan," kata gabenor Nairobi, Evans Kidero dalam satu kenyataan.

Akhbar Standard memetik beliau sebagai berkata: "Semua perniagaan dan penyedia perkhidmatan memastikan kesemua pelanggan dilayan sama rata tanpa mengira kaum, warna kulit, jantina, etnik dan agama." - AFP

Artikel Lain