suria

Identiti Mangsa Nahas Pesawat Germanwings Terawal Didedah

Maria Radner dan Oleg Bryjak (atas) serta warga Australian Carol Friday dan anak lelakinya, Greig (bawah) antara mangsa yang terawal didedahkan media.
PENGHORMATAN terakhir diberikan kepada empat mangsa nahas pesawat Germanwings 4U9525 terawal yang didedahkan media  ketika usaha mencari dan siasatan dilakukan di tapak nahas di pergunungan Alps Perancis.

Antara 150 penumpang yang berada di dalam pesawat malang itu, 67 merupakan warga Jerman manakala 45 lagi Sepanyol.

Identiti warga Sepanyol antara yang pertama didedahkan media pada pagi Rabu.

Di Australia, Carol Friday dan anak lelakinya, Greig disahkan sebagai mangsa nahas oleh menteri luar negara itu.

Menteri Luar Colombia berkata Maria del Pilar Tejada dan Luis Eduardo Medrano antara rakyatnya yang terkorban.

Sementara itu, Kazakhstan mengesahkan tiga rakyatnya, Erbol dan Adil Imankulov serta Aizhan Isengaliyeva berada dalam pesawat tersebut.

Terdahulu, rumah opera Barcelona, The Gran Teatre del Liceu mengesahkan bahawa penyanyinya, Oleg Bryjak dan Maria Radner serta suami dan anaknya turut menaiki pesawat tersebut.

Setiausaha Luar Britain, Philip Hammond berkata kemungkinan terdapat beberapa warga British di dalam pesawat tersebut tetapi masih belum dapat memberikan sebarang pengesahan berhubung perkara itu.

Seorang wanita warga Sepanyol yang dipercayai menetap di Manchester dan bayi lelakinya antara yang berada di dalam pesawat itu.

Dua warga Argentina, tiga Mexico, dua Jepun, satu Truki, satu Belgium dan seorang Belanda disahkan turut terbunuh dalam nahas pesawat malang ini.

Sebuah perkampungan kecil di Syne-les-Alpes kini bertukar menjadi pusat operasi dan petugas sokongan membuat persediaan untuk menyambut kedatangan waris mangsa.

Germanwings mengesahkan pesawat 4U9525 dari Barcelona ke Duesseldorf yang membawa 144 penumpang dan enam anak kapal terhempas di Pergunungan Alps Perancis.

Pegawai berkata pesawat tersebut mengeluarkan isyarat kecemasan pada pukul 0947 waktu tempatan, kira-kira 52 minit selepas berlepas. 
Germanwings

Artikel Lain