suria

Jeremy Clarkson Berkemungkinan Dipecat Dari Program Top Gear

Jeremy Clarkson berhadapan dengan para pemberita.

> Sumber dalaman BBC menyatakan pengumuman mengenai nasib pengacara jutawan itu akan diumumkan pada Rabu

> Siasatan dalaman BBC mendapati dia memang menumbuk rakan sekerja

> BBC tidak dapat menerima sikap buruk Clarkson walaupun popularitinya menjana pendapatan lumayan

> Ketua Pengarah BBC, Lord Hall, enggan bertoleransi dengan sikap sedemikian

PENGACARA jutawan program kereta popular dunia Top Gear, Jeremy Clarkson berhadapan dengan kemungkinan dipecat dari program tersebut oleh stesen penyiaran British, BBC selepas siasatan dalaman mendapati dia memang menumbuk penolong penerbit Oisin Tymon selepas naik berang tidak dihidangkan dengan makanan panas setelah seharian menjalani proses pengambaran awal bulan ini.

Menurut laporan media Britain, pengumuman mengenai nasib Clarkson akan dibuat pada Rabu oleh Ketua Pengarah BBC sendiri, Lord Hall.

Clarkson menjadi jutawan setelah dia menjual hak penyiaran program yang diilhamkan olehnya itu kepada BBC beberapa tahun lalu. Top Gear pertama kali ke udara pada tahun 1988.

Dia telah pun digantung tugas (sejak dua minggu yang lalu) ekoran insiden tersebut sementara menunggu hasil siasatan dalaman selesai.

Clarkson, 54, dikatakan naik berang lalu didakwa menumbuk Tymon selepas dia mendapati hidangan makan malamnya tidak sepertimana yang dijangkakan.

Selepas berita mengenai penggantungan tugasnya tersebar luas, BBC telah mengambil keputusan untuk turut menangguhkan kesemua siaran program Top Gear termasuklah empat siaran langsung yang dijadualkan di Norway hujung minggu ini walaupun tiket penonton bernilai £1 juta telah terjual kesemuanya.

Akhbar The Telegraph melaporkan yang Lord Hall dijangka akan mengumumkan yang BBC tidak mempunyai pilihan lain melainkan memecat Clarkson kerana reputasi semua pihak telah terjejas.

The Telegraph juga memetik sumber dalaman BBC sebagai berkata yang tempat Clarkson akan diganti oleh pengacara rancangan pagi Radio 2, Chris Evans.

Tidak diketahui sejauh mana penerimaan peminat dengan keputusan terbaru ini nanti memandangkan para peminat setia Top Gear telah pun menghimpun sejuta tanda tangan menuntut Clarkson ditugaskan semula mengacara rancangan popular itu.

Sehingga semalam, Clarkson memberitahu pemberita yang dia masih belum mengetahui mengenai nasib dan masa depannya bersama program itu.

Bagaimanapun rakan-rakan rapat Clarkson dilaporkan berkata yang pengacara itu akan menyaman BBC jika mereka meneruskan rancangan untuk memecatnya.

Ahli parlimen dari parti Konservatif yang memerintah, John Whittingdale berkata, Clarkson tidak sepatutnya menerima layanan istimewa walaupun dia seorang yang popular kerana gajinya dibayar oleh pembayar cukai.

BBC adalah sebuah stesen milik kerajaan yang diperbadankan.

Whittingdale yang juga pengerusi Jawatankuasa Khas Kebudayaan, Media dan Sukan Parlimen menegaskan yang "Jeremy Clarkson tidak wajar mendapat layanan istimewa sebaliknya dia harus dilayan sepertimana kakitangan BBC yang lain dan oleh yang demikian harus berhadapan dengan peraturan disiplin yang sama sepertimana yang lain."

Bekas Ketua Pengarah BBC, Greg Dyke telah melabelkan Clarkson sebagai 'malapetaka yang menanti masa untuk meletus'.

Top Gear, yang dihoskan oleh Clarkson bersama dua rakan pengacara yang lain, James May dan Richard Hammond, merupakan siri BBC yang paling popular, dijual di lebih 200 buah negara dan menjana pendapatan sehingga £50 juta setahun.

Walaupun Clarkson dikenali dengan mulut yang celupar, tetapi cara dia mengendalikan rancangan itu tanpa gentar dan berselindung menjadikannya seorang yang sangat popular dengan para peminat.

Artikel Lain