suria

Yudhoyono Perintahkan Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Taufan Haiyan Di Filipina

JAKARTA: Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono memerintahkan badan pengendali bencana negara itu menghantar segera bantuan untuk mangsa taufan Haiyan di Filipina, yang telah memusnahkan bandar Tacloban, di bahagian tengah serta mengorbankan ribuan nyawa.

Perintah itu disampaikan pada Sabtu malam kepada Ketua Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia, Syamsul Maarif.

"Duta Besar Indonesia di Filipina telah mengirimkan maklumat kepada Menteri Luar Negeri Indonesia dan Ketua BNPB bahawa pada masa ini keperluan yang paling mendesak adalah air minum, generator, ubat-ubatan khususnya antiobiotik, dan makanan segera," kata Ketua Pusat Data dan Maklumat Perhubungan Awam BNPB Sutopo Purwo Nugroho, dalam kenyataan pada Ahad.

BNPB kini sedang menyelaraskan usaha itu dengan dengan Kementerian Luar Negeri Indonesia; AHA Centre - sebuah pusat penyelaras Asean bagi bantuan kemanusiaan dan pengendalian bencana - dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk penggunaan pesawat Hercules C-130, Badan SAR Nasional (Basarnas), Kementerian Kesihatan dan Polis Indonesia (Polri).

BNPB sebelum ini memberi bantuan kepada mangsa bencana di Filipina sebanyak tiga kali iaitu AS$400,000 untuk mangsa banjir dan tanah runtuh pada Oktober 2011, AS$500,000 semasa bencana taufan Washi pada Disember 2011 dan AS$1 juta dan 2,000 tan beras, ubat-ubatan, khemah dan selimut semasa taufan Bopha/Pablo pada Januari 2013. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain