suria

Calon Kerusi Parlimen Pakistan Ditembak Mati

KARACHI: Seorang calon untuk kerusi parlimen dalam pilihan raya umum Pakistan yang akan berlangsung minggu depan telah mati ditembak selepas selesai menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di sini.

Turut terkorban ialah anaknya yang berusia tiga tahun.

Mangsa, Saddiq Zaman Khattak, seorang ahli perniagaan dan bertanding atas tiket Awami National Party (ANP), sebuah parti yang dikuasai oleh etnik Pashtun adalah calon kerusi parlimen yang pertama menjadi mangsa pembunuhan dalam pilihan raya ini.

Pilihan raya umum kali ini yang dijadualkan berlangsung pada 11 Mei mencatat satu sejarah baru kerana inilah buat pertama kalinya juga sebuah kerajaan awam berjaya memenuhi penggal pemerintahan sepenuhnya tanpa ada sebarang rampasan kuasa atau percubaan merampas kuasa dan selepas itu menyerahkan kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baru.

Separuh daripada usia Pakistan dicemari oleh rampasan kuasa dan pemerintahan tentera.

Karachi, sebuah bandar pelabuhan dengan 18 juta penduduk seringkali dicemari dengan keganasan etnik dan pembunuhan kerana perbezaan fahaman politik.

Sebelum ini terdapat dua lagi calon untuk kerusi undangan negeri yang terkorban.

Mereka ialah calon dari Pergerakan Muttahida Qaumi (MQM) yang akan bertanding untuk kerusi dewan undangan negeri Sindh manakala seorang lagi adalah calon Bebas untuk Dewan Undangan Negeri Baluchistan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain