suria

Al-Qaeda Tidak Akan Berjaya Lakukan Serangan - TPM Thailand

BANGKOK: Kerajaan Thai percaya Al-Qaeda tidak akan berjaya melakukan serangan ke atas pejabat Konsul Amerika Syarikat di Chiangmai bulan ini seperti yang dirancang sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri Charlem Yubamrung berkata ini disebabkan pihak berkuasa Thai amat berwaspada terhadap rancangan itu dan bersiap siaga untuk mengendalikan ancaman itu.

Tambahan pula, beberapa anggota pengganas dipercayai telahpun meninggalkan negara itu sebaik mengetahui tentang kewaspadaan dan kesiapsiagaan pihak berkuasa Thai, katanya kepada pemberita di sini Rabu.

"Saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Wilayah 5 Lt Jen Suthep Detraksa bahawa beberapa anggota pengganas telahpun meninggalkan negara ini.

"Ada antara mereka yang masih berada di negara ini tetapi kami percaya mereka tidak akan dapat melaksanakan misi sukar itu kerana pihak berkuasa Thai dalam keadaan berjaga-jaga," katanya.

Charlem berkata serangan pengganas juga mungkin menyasarkan latihan ketenteraan 'Cobra Gold' di Chiangmai meskipun sebelum ini beliau enggan mengaitkan serangan itu dengan latihan berkenaan.

Terdahulu, Charlem berkata pihak berkuasa Thai dimaklumkan oleh sumber setempat 'sejak dulu lagi' bahawa dua kumpulan pengganas iaitu Al-Qaeda dan sekutu rapatnya Salafist Group, sebuah kumpulan pengganas berpusat di Algeria, merancang serangan itu.

Beliau enggan mendedahkan motif, tarikh dan cara serangan itu akan dilakukan memandangkan ia melibatkan maklumat sulit.

Latihan ketenteraan pelbagai negara yang dikelolakan Thailand dan Amerika Syarikat itu bermula di Chiangmai semalam dan akan berakhir pada 21 Feb.

Latihan itu bermula pada 1980 sebagai latihan ketenteraan dua hala Amerika-Thai namun diperluaskan lebih sedekad lepas dengan memasukkan penyertaan negara lain secara berperingkat seperti Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Angkatan tentera dari 20 negara lain turut menghantar pemerhati mereka ke latihan berkenaan.

Kemuncak latihan itu termasuk demonstrasi serangan darat dan air melibatkan jet pejuang, helikopter, pesawat pendarat dan bot kecil, operasi pemindahan bukan penempur pelbagai hala, gabungan eksesais tembakan senjata: dan latihan peperangan hutan, kimia, biologi, radiologi dan nuklear.

Charlem berkata serangan yang dirancang itu tiada kaitan dengan insiden pengeboman di Bangkok pada 14 Feb tahun lepas.

Dalam insiden itu, tiga letupan bom menggegarkan Bangkok, termasuk insiden apabila seorang warga Iran hilang sebelah kaki setelah bom yang dilontarnya ke arah sebuah kereta peronda polis melantun dan mengenainya di Sukhumvit 71 Road di sini.

Empat rakyat Thai turut cedera dalam insiden itu. -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain