suria

Angka Terbaru Korban Taufan Bopha Di Filipina Kini 239 Orang

NEW BATAAN (Filipina): Angka terbaru kematian akibat Taufan Bopha ganas yang melanda selatan kepulauan Filipina telah meningkat kepada 239 orang menjelang petang Rabu.

Pulau yang paling teruk dilanda musibah ialah selatan Mindanao dengan kelajuan angin mencecah 210 kilometer sejam.

Agensi berita AFP melaporkan, seramai 142 orang disahkan terbunuh di New Bataan sahaja iaitu sebuah pekan di kawasan pergunungan.

Manakala 81 mangsa lagi ditemui mati di wilayah Davao.

Seramai 16 orang lagi terbunuh di pelbagai daerah dan wilayah di Pulau Mindanao.

Pihak berkuasa mencatatkan angka mangsa yang dilaporkan hilang dan masih gagal dikesan oleh keluarga masing-masing kepada 319 orang.

Presiden Benigno Aquino dilaporkan berkata, Filipina harus mempelajari bagaimanakah untuk berhadapan dengan malapetaka alam memandangkan negara itu dilanda sekurang-kurangnya 20 jenis taufan dan saiklon sepanjang tahun.

Pada Disember tahun lalu, 1,200 orang telah terkorban akibat Taufan Washi.

Artikel Sebelum

Timor Leste Kekal Sertai Asean

Artikel Berikut

Artikel Lain