Liu Yang Angkasawan Wanita Pertama China - Dunia | mStar

Liu Yang Angkasawan Wanita Pertama China

BEIJING: Sebagai seorang kanak-kanak, Liu Yang pernah bercita-cita menjadi seorang peguam dan pernah mahu menjadi seorang konduktor bas, tetapi beberapa dekad kemudian beliau bersedia berlepas ke ruang angkasa sebagai angkasawan wanita pertama China.

Ia bermula dengan lawatan oleh Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) ke sekolah beliau di tengah China yang mengubah minda muda Liu yang menyedari dia ingin menjadi seorang juruterbang - satu keputusan yang akhirnya menyaksikan dia mencatat sejarah.

Liu telah diumumkan sebagai angkasawan wanita pertama di China pada Jumaat, dan dijangka berlepas ke angkasa pada Sabtu, bersama-sama dua rakan sekerja lelaki menaiki kapal angkasa Shenzhou-9, dalam misi angkasa China yang paling hebat.

"Dari hari pertama saya telah diberitahu bahawa saya tidak berbeza dengan angkasawan lelaki," kata Liu, seorang juruterbang terlatih yang telah berkahwin tetapi belum mempunyai anak, katanya memberi komen kepada media kerajaan.

Liu mula menyertai tentera pada tahun 1997, dan telah menamatkan 1,680 jam penerbangan sejak itu, menurut agensi berita kerajaan, Xinhua.

Dia telah direkrut sebagai bakal angkasawan pada Mei 2010 sebelum disahkan sebagai salah seorang daripada enam calon-calon yang disenarai pendek bagi misi kapal angkasa Shenzhou-9 tiga bulan yang lalu.

"Sebagai seorang juruterbang, saya terbang di langit. Sekarang saya seorang angkasawan, saya akan terbang di angkasa yang lebih tinggi dan lebih jauh." kata Liu yang minat memasak dan sukakan memasak "kepak ayam Cola" kepada pemberita ketika pelancaran.

China merupakan negara ketiga selepas Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat yang menghantar angkasawan wanita ke ruang angkasa menggunakan teknologi sendiri.

Liu akan menyertai dua rakan sekerja lelaki, Jing Haipeng dan Liu Wang.

"Saya ingin merasai suasana tanpa graviti di angkasa lepas, menghayati keindahan Bumi, dan melihat kediaman kami yang indah, sebanyak mungkin," katanya kepada pemberita.

"Saya akan merakamkan perasaan dan pengalaman saya, dan membawanya kembali untuk dikongsi dengan semua orang."

Tetapi sebagai seorang kanak-kanak, Liu tidak bermimpi menjadi 'bintang', sebaliknya mahu menjadi "seorang peguam seperti yang dalam siri televisyen," menurut laporan Xinhua.

"Kali pertama dia berada dalam bas dengan ibunya, dia juga berfikir untuk menjadi konduktor bas apabila besar, kerana dia boleh naik bas setiap hari," menurut laporan.

Beberapa dekad kemudian, dia telah menjadi heroin negara, dan misi beliau sedang mencetuskan ketrujaan media China dan blog popular di negaranya.

Kain rentang dilaporkan telah digantung di bekas sekolah beliau di wilayah Henan China untuk meraikan pemilihan beliau sebagai "taikonaut" wanita pertama di negara ini.

Penyiar televisyen tempatan CCTV berkata Liu telah dipilih kerana "kemahiran yang sangat baik dan kualiti psikologi".

Beliau pernah dipuji kerana berjaya mengendalikan jet yang melanggar burung merpati dengan tenang, dan masih boleh mendaratkan pesawat yang rosak teruk.

Liu telah berkahwin dan tidak mempunyai anak. Media China melaporkan negara itu memerlukan angkasawan wanita yang berkahwin dan sebaik-baiknya mempunyai anak, disebabkan kebimbangan terhadap potensi pendedahan kepada radiasi yang boleh mengancam kesuburan mereka.

Dalam temu bual CCTV, beliau mengucapkan terima kasih kepada suaminya dan berkata beliau berasa "sangat bersalah" kerana tidak mampu untuk meluangkan masa bersama keluarganya kerana jadual latihan berbulan-bulan untuk misi itu iaitu 16 jam sehari.

"Beliau juga sangat menyokong saya," kata Liu.

"Saya amat berterima kasih kepadanya."

Beliau berkata akan membincangkan untuk mempunyai anak selepas kembali daripada misi.

"Saya suka kanak-kanak dan kehidupan. Menjadi seorang suri rumah dan menghabiskan masa dengan keluarga adalah salah satu kebahagiaan, tetapi menjadi angkasawan mungkin merupakan satu lagi kebahagiaan yang tidak diperolehi semua orang," katanya, menurut Xinhua.

Artikel Berkaitan

Klik

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

Artikel Lain