suria

Serangan Bom Di Mumbai: 21 Orang Terkorban

MUMBAI: Seramai 21 orang terbunuh manakala 141 yang lain cedera apabila tiga bom diletupkan oleh pengganas di waktu puncak di sini, Rabu.

Menurut polis, kejadian letupan bom itu bermula di pasar barangan kemas, Jhaveri Bazaar pada pukul 6.54 petang waktu tempatan dan seminit kemudian satu letupan berlaku di kawasan perniagaan, Opera House beberapa kilometer dari selatan Mumbai.

Bom ketiga diletupkan pada pukul 7.05 malam di kawasan kejiranan Dadar dekat tengah Mumbai.

Seorang pegawai kanan polis, Arup Patnaik berkata penyerang menggunakan bahan letupan buatan sendiri yang disembunyikan dalam payung di Jhaveri Bazaar, diletakkan dalam kereta di Opera House dan satu lagi bahan letupan diletupkan dalam meter elektrik di sebuah perhentian bas dekat Dadar, demikian menurut laporan agensi berita Press Trust of India.

Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut dan kerajaan India enggan membuat spekulasi mengenai siapakah yang bertanggungjawab.

Kejadian serangan bom tersebut merupakan serangan pengganas yang terburuk setakat ini di India sejak peritiwa yang sama berlaku dekat Mumbai pada tahun 2008.

Serangan bom tersebut berlaku beberapa bulan selepas satu rundingan damai antara India dan Pakistan dibuat.

Perdana Menteri India, Manmohan Singh mengutuk serangan tersebut dan menyeru rakyat India supaya bertenang dan bersatu dalam menghadapi peristiwa itu.

Pakistan yang didakwa bertanggungjawab terhadap beberapa serangan sebelum ini meluahkan simpati di atas kehilangan nyawa yang berlaku sejurus selepas laporan mengenainya disiarkan.

Seorang penganalisis pertahanan, C. Uday Bhaskar berkata serangan bom itu menunjukan bahawa Mumbai masih tidak bersedia menangani masalah ini walaupun langkah berjaga-jaga telah diambil selepas peritiwa serangan bom pada tahun 2008.

"Polis tempatan masih tidak mempunyai keupayaan untuk mengelak daripada berlakunya kejadian seperti ini dan ia merupakan satu cabaran yang berterusan," katanya. -AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain