suria

Hamas Sedia Lakukan Apa Sahaja Jayakan Perdamaian Dengan Fatah

SEMENANJUNG GAZA: Sehari selepas menandatangani perjanjian memulihkan hubungan dengan kumpulan Fatah, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, berkata mereka sedia menghadapi apa saja untuk memastikan kejayaan perdamaian yang dicapai itu setelah kedua-dua pihak bertelagah selama empat tahun.

"Kami akan mula melaksanakan semua tuntutan perjanjian itu...membentuk kerajaan penyatuan, membebaskan tahanan dan menggerakkan semula Parlimen Palestin," katanya.

Beliau juga menyeru kumpulan bersenjata dalam kalangan rakyat Palestin supaya mematuhi gencatan senjata dengan Israel untuk memberi peluang kepada perjanjian perdamaian itu untuk dilaksanakan.

"Terdapat banyak ancaman kepada perjuangan rakyat Palestin, dan semua ancaman ini dapat ditangani menerusi perdamaian," katanya.

Haniyeh, yang mengetuai kerajaan pertama Palestin yang dibentuk oleh Hamas pada 2006 selepas memenangi pilihan raya Parlimen, mengesahkan bahawa beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri dalam kerajaan baru Palestin.

Semalam ratusan penyokong Hamas menyertai satu perhimpunan bagi meraikan penyatuan Palestin di bandar Nablus di Tebing Barat.

Ini adalah kali pertama penyokong Hamas berada di Tebing Barat sejak pihak berkuasa Palestin menghalang mereka datang ke situ pada 2007.

Petugas dari stesen televisyen milik pihak berkuasa Palestin dibenarkan buat pertama kali membuat liputan di Semenanjung Gaza manakala wartawan dari stesen televisyen Hamas Al-Aqsa pula dibenarkan beroperasi dari Tebing Barat.

Penganalisis Palestin, Fahmi Abu Hadeed, bagaimanapun melihat penyatuan antara kedua-dua kumpulan itu akan berdepan pelbagai cabaran.

Katanya ini adalah kerana masing-masing mempunyai program tersendiri.

Beliau juga berkata Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah tidak akan mengiktiraf sebuah kerajaan Palestin jika Hamas tidak mengiktiraf Israel. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain