suria

China Tidak Akan Laksana Hegemoni - Wen Jiabao

BEIJING: Perdana Menteri China Wen Jiabao menegaskan China tidak akan melaksanakan hegemoni di masa depan apabila ia menjadi sebuah negara maju.

Beliau berkata China berpegang teguh dan mematuhi dasar luar asing bagi keamanan dan juga dasar menjalin hubungan dan kerjasama baik dengan negara-negara jiran.

"Ini merupakan dasar-dasar kami ketika kami masih belum menjadi negara maju dan malahan apabila China menjadi negara maju pada satu hari nanti, China tidak akan melaksanakan hegemoni," kata Wen dalam temu bual selama sejam dengan lima wakil media Malaysia dan Indonesia.

Sebelum melakukan lawatan rasmi ke Malaysia dan Indonesia, Wen ditemu bual oleh wartawan Bernama dan The Star dan tiga wakil media Indonesia di Ziguangge;Zhongnanhai, tempat khas bagi pemimpin China mengadakan pertemuan dengan tetamu asing.

Wen berkata China adalah sebuah negara yang bertanggungjawab dan tidak akan memberikan ancaman kepada mana-mana negara dan sebaliknya China banyak menyumbang kepada dunia dan negara-ngara jiran.

"Pembangunan China sendiri merupakan sumbangan utama terhadap kemajuan manusia dan kemakmuran dunia. Pembangunan China juga menawarkan peluang-peluang kepada jirannya termasuk negara-negara Asean. "China adalah sebuah negara yang besar yang akan terus memainkan peranannya dalam menggalakkan keamanan, keselamatan dan kestabilan dunia."

Bagaimanapun, Wen berkata China masih mempunyai laluan yang panjang untuk mencapai matlamat pembangunannya. "Sebagai sebuah negara membangun, dan dengan lebih 30 tahun melaksanakan pembaharuan dan dasar buka pintu, kami telah mencapai banyak kemajuan dalam pembangunan ekonomi dan sosial kami. "Bagaimanapun, China ialah sebuah negara yang besar dengan jumlah penduduk yang banyak dan dengan asas ekonomi yang lemah. Ini bermakna masih banyak yang kami perlu lakukan dan perlu bekerja keras jika kami mahu mewujudkan sebuah masyarakat peringkat pertengahan yang makmur dalam semua aspek dan mencapai matlamat pemodenan." Wen percaya China akan memperkukuhkan kerjasama jangka panjang dengan Asean kerana ini akan menjamin kestabilan persekitaran domestik dan luar.

"Kami berpandangan bahawa bagi sebuah negara membangun yang besar seperti China, ia perlu mempunyai persekitaran luar yang aman dan persekitaran domestik yang stabil supaya ia dapat mengekalkan momentum pembangunan dan kemajuannya."

Wen juga memberikan jaminan bahawa China akan memikul tanggungjawabnya sebagai sebuah negara besar dalam memastikan keselamatan dan kestabilan serantau, khususnya dalam pencegahan keganasan dan keselamatan maritim.

Beliau berkata China akan meningkatkan kerjasama dengan negara-negara lain untuk menjaga keselamatan maritim di Laut China Selatan dan Selat Melaka. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain