suria

Calon Mula Ambil Kertas Pencalonan Untuk Pilihan Raya Umum Singapura

SINGAPURA: Calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum Singapura mula mengambil kertas pencalonan pada Khamis, iaitu sehari selepas writ pilihan raya dikeluarkan.

Kelihatan berbuat demikian ialah calon dari lima parti politik serta beberapa calon bebas, lapor rangkaian televisyen tempatan Channel NewsAsia.

Laporan itu menyebut sesetengah daripada mereka hadir untuk menyerahkan borang permohonan derma pilihan raya dan borang calon minoriti sebelum tempoh berbuat demikian berakhir pada pukul 1 petang Sabtu ini.

Mereka termasuk calon baru Parti Tindakan rakyat (PAP) Mejar Jen (NS) Chan Chun Sing yang datang untuk mendapatkan senarai daftar pemilih terkini bagi Kawasan Pilihan Raya Berkumpulan (GRC) Tanjong Pagar, iaitu kawasan yang mungkin beliau tandingi.

Turut kelihatan tujuh calon Parti Perpaduan Nasional (NSP) termasuk pasangan suami isteri Tony Tan dan Hazel Poa yang hadir menyerahkan borang permohonan derma politik, iaitu syarat untuk pencalonan.

Parti Perikatan Demokratik Singapura (SDA) tiba dengan 20 calon dan mengambil borang pencalonan untuk dua GRC dan tiga SMC (Kawasan Pilihan Raya Keanggotaan Tunggal).

Mereka termasuk calon parti Barisan Nasional Singapura (SNF) Abdul Karim Abdul Sattar yang berkata partinya itu menyertai SDA minggu lepas.

Sekiranya SNF bertanding pada pilihan raya kali ini, ia merupakan kali pertama sejak didaftarkan pada 1991.

SNF yang merupakan parti politik orang Melayu terbentuk daripada serpihan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain