suria

K'jaan Komunis Bengal Barat, India Diancam Kekalahan Selepas Lebih 30 Tahun Memerintah

KOLKATA: Negeri Bengal Barat, India, pada Isnin mengadakan pilihan raya negeri yang bakal menentukan sama ada kerajaan komunis yang memerintah negeri itu untuk selama 30 tahun dapat mempertahankan kerajaan atau sebaliknya.

Ramai yang meramalkan kerajaan negeri yang mencatatkan sejarah sebagai kerajaan komunis tertua yang dipilih secara demokratik bakal menemui jalan penamat kepada pemerintahan selama tiga dekad tanpa putus.

Parti Komunis India (Marxist) atau CPI-M sejak 1977 memenangi setiap pilihan raya negeri yang diadakan.

Bagaimanapun kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh CPI-M dalam pilihan raya majlis perbandaran dan kerusi parlimen telah menjejaskan peluang mereka untuk terus mempertahankan kerajaan negeri itu.

Malah tinjauan umum yang dilakukan menunjukkan, rakyat negeri Bengal Barat kini lebih cenderung untuk memberi peluang kepada seorang ahli politik wanita bernama Mamata Banerjee atau lebih dikenali di kalangan penyokongnya sebagai "didi" atau kakak.

Banerjee, 56, yang mengetuai Parti Kongres Trinamool telah menjuari suara masyarakat miskin dan bawahan kini lebih popular daripada CPI-M yang dilihat gagal meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan industri negeri itu.

Bengal Barat merupakan salah satu daripada lima negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri.Parti Kongres Trinamool membentuk pakatan bersama Parti Kongres India pimpinan Perdana Menteri, Manmohan Singh dalam pilihan raya Bengal Barat.

Parti Kongres Trinamool kini mempunyai 19 kerusi di Parlimen Persekutuan adalah sekutu utama Parti Kongres India.

Para analisa politik menjangkakan Pakatan Trinamool-Kongres mampu memenangi di 215 kerusi daripada keseluruhan 294 kerusi negeri Bengal Barat manakala CPI-M hanya mampu mempertahankan 74 kerusi sahaja.

Pilihan raya yang bermula hari ini akan melalui enam fasa yang mana keputusan muktamad hanya akan diperolehi pada 13 Mei nanti.

Sejak 2009, Banerjee telah berkhidmat sebagai menteri kereta api India - iaitu satu potfolio yang dianggap penting di negara tersebut.

Bengal Barat lebih dikenali kerana produk teh dari daerah Darjeeling yang Banerjee sifatkan sebagai 'Switzerland' Bengal.

Malangnya, sokongan ke atasnya di Darjeeling adalah yang paling lemah di antara enam daerah yang terdapat di Bengal Barat.

Artikel Lain