suria

Keadaan Banjir di Nakhon Si Thammarat Tambah Buruk

BANGKOK: Keadaan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di wilayah Nakhon Si Thammarat di selatan Thailand bertambah buruk dengan jumlah korban akibat bencana itu meningkat kepada sembilan orang pada Isnin.

Seorang jurucakap Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi Thailand di wilayah itu berkata, seorang mangsa banjir terkorban hari ini tetapi tidak dapat memberi butiran lanjut mengenai mangsa terbaru itu.

Wilayah itu mengalami banjir paling teruk dengan 139,754 orang dari 1,063 kampung di 22 daerah di situ terjejas.

"Perkhidmatan udara, hospital dan kereta api di wilayah itu tergendala sementara akibat banjir," katanya.

Wilayah itu mula dilanda banjir kilat Sabtu lepas dengan lapan orang terkorban setakat semalam.

Lapangan Terbang Nakhon Si Thammarat mengendalikan sehingga 1,700 penumpang setiap hari manakala pesakit di Hospital Thasala di bandar itu dipindahkan ke hospital berdekatan.

Jurucakap jabatan itu berkata kerugian harta benda akibat banjir di wilayah itu dianggarkan 300 juta Baht (kira-kira RM30 juta).

Bagaimanapun, keadaan banjir di empat wilayah lain di selatan negara itu seperti Phatthalung, Surat Thani, Trang dan Chumphon, dilaporkan sedang beransur pulih. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain