suria

Presiden ICC Lawat Malaysia, Filipina Dan Brunei

SINGAPURA: Presiden Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Hakim Sang-Hyun Song dari Korea Selatan, akan melawat Malaysia minggu depan, sebahagian daripada siri lawatannya ke Asia Tenggara.

Pada lawatan lapan hari ke rantau ini, beliau akan melawat Filipina dari 5 hingga 8 Mac, Malaysia (8 hingga 11 Mac) dan Brunei pada 11 hingga 13 Mac.

Menurut satu kenyataan ICC Khamis, tujuan utama lawatan Sang adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai ICC dan untuk memudahcara rundingan di negara-negara yang mungkin mempertimbangkan untuk meratifikasi Statut Rom.

Semasa lawatan berkenaan, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai kerajaan, anggota badan perundangan dan pihak-pihak yang berkaitan.

Semasa di Malaysia, Sang akan menjadi pembentang ucaptama di Perundingan Parlimen Asia Pasifik mengenai kesejagatan Statut Rom ICC.

ICC merupakan sebuah mahkamah bebas dan tetap yang membicarakan individu yang dituduh melakukan kesalahan jenayah paling serius mengikut pertimbangan antarabangsa seperti pembunuhan kaum, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang.

Ia ditubuhkan di bawah satu triti antarabangsa, Statut Rom, yang sehingga 1 Januari lepas mempunyai 114 negara yang menjadi pihak triti itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bekas PM Turki Meninggal Dunia

Artikel Lain