suria

Thailand Minta Penduduk Kemboja Berundur Dari Kawasan Yang Dicerobohi

BANGKOK: Pertikaian membabitkan sempadan Thailand-Kemboja mencatatkan perkembangan terbaru hari ini apabila Thailand meminta penduduk Kemboja yang mencerobohi wilayahnya di sempadan supaya berundur.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva berkata kerajaan telah meminta Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan Thailand supaya mengadakan perbincangan untuk memastikan pengunduran penduduk terbabit dari wilayah yang diduduki itu.

Bagaimanapun, Abhisit enggan mendedahkan butiran mengenai tugas yang diberi kepada kedua-dua kementerian berkenaan dan juga tarikh akhir pengunduran itu.

"Semua masalah timbul ekoran pencerobohan penduduk Kemboja ke kawasan kami. Sememangnya hak kami untuk melindungi kedaulatan negara kami," katanya.

Beliau mengulangi pendirian negaranya untuk menggunakan cara yang aman dalam menyelesaikan isu sempadan sejajar dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Memorandum Persefahaman Sempadan Thailand-Kemboja yang dimeterai pada tahun 2000.

Masih belum jelas mengenai jumlah penduduk Kemboja yang didakwa mencerobohi kawasan itu di samping saiz wilayah yang diduduki seperti yang didakwa oleh Thailand.

Kedua-dua negara bertegang leher berhubung kawasan seluas 4.6 kilometer persegi mengelilingi Kuil Preah Vihear apabila Thailand mendakwa kawasan yang menjadi pertikaian itu adalah sebahagian daripada daerah Si Sa Kets Karntharalak negara berkenaan manakala Kemboja pula berkata ia berada dalam wilayah Preah Vihear, di Kemboja.

Kuil Hindu abad ke-11 itu terletak dalam wilayah Kemboja seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 1962 dan Unesco menyenaraikannya sebagai tapak warisan dunia pada 2008, mengakibatkan ketegangan hubungan memandangkan kedua-dua negara menuntut wilayah yang dipertikaikan itu.

Selain isu sempadan, Abhisit menegaskan bahawa kedua-dua negara menjalin hubungan baik dalam bidang lain termasuk perdagangan, sambil menambah perdagangan di sempadan tidak terjejas berikutan konflik itu.

Beliau berkata Thailand akan memberi penjelasan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Majlis Keselamatan berdasarkan empat perkara bertujuan menangkis dakwaan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen bahawa Thailand mengugut untuk menggunakan kekuatan tentera dalam menyelesaikan isu itu.

Empat perkara itu ialah Hun Sen salah petik beliau; kedua-dua negara menjalin hubungan baik dalam bidang lain; Thailand akan akur kepada penyelesaian secara aman dan negara itu menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung pemilikan kuil itu meskipun berkemungkinan tidak mempersetujuinya, katanya.

Surat kepada kedua-dua badan dunia itu sebagai respons kepada surat yang dihantar oleh Hun Sen kepada badan yang sama pada Ahad.

Isu berhubung sempadan itu menjadi hangat semula minggu lepas apabila Kemboja mengemukakan pelan pengurusan kuil itu pada mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia Unesco di Brazil.

Thailand membantah kerana pelan itu memasukkan bahagian wilayah yang menjadi pertikaian dan mesyuarat itu menangguhkan keputusannya berhubung pelan pengurusan sehingga mesyuarat berlangsung semula tahun depan di Bahrain.

Thailand Patriot Network yang diketuai oleh pemimpin baju kuning Perikatan Rakyat Bagi Demokrasi mengadakan bantahan di ibu negara ini Sabtu lepas untuk mendesak kerajaan membatalkan MoU sempadan 2000 dan keesokan harinya, Abhisit mengetuai kumpulan kerajaannya dalam debat selama tiga jam dengan kumpulan itu yang disiarkan secara langsung.

Semasa debat itu berlangsung, Abhisit menyebut bahawa Thailand akan menggunakan kaedah diplomasi untuk menyelesaikan isu sempadan dan penggunaan kekuatan tentera sebagai jalan akhir untuk melindungi kedaulatan negara. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Vanuatu Dilanda Gempa Bumi

Artikel Berikut

Artikel Lain