Indonesia Sambut 1 Ramadan Hari Ini - Dunia | mStar

Indonesia Sambut 1 Ramadan Hari Ini

JAKARTA: Indonesia telah menetapkan Rabu, sebagai 1 Ramadan, yang menandakan hari pertama ibadat puasa di negara yang mempunyai umat Islam teramai di dunia itu.

Menteri Agama Suryadharma Ali ketika mengumumkan perkara itu pada satu persidangan membabitkan para ahli dalam bidang agama dan bidang astronomi di sini malam Selasa, turut menyatakan bahawa anak bulan telah dapat dilihat di tiga daripada 10 tempat melihat anak bulan yang ditetapkan oleh kerajaan di seluruh Indonesia.

Ketua Badan Hisab Rukyah, Kementerian Agama Rohadi Abdul Fatah semasa menyampaikan laporannya berkata keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura pada 1-5 Julai 1992, turut menjadi pertimbangan dalam penetapan 1 Ramadan hari ini.

"Hilal (anak bulan) terlihat di Probolinggo dan Gresik, Jawa Timur serta Cilincing, Jakarta," kata Rohadi.

Dua organisasi Islam terbesar Indonesia iaitu Nahdlatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah, menggunakan kaedah berbeza dalam pengiraan 1 Ramadan dan Aidilfitri.

Muhammadiyah yang menggunakan kaedah hisab manakala NU memakai kaedah rukyah iaitu melihat anak bulan, turut mengumumkan 1 Ramadan pada Rabu.

Sementara itu, media melaporkan terdapat beberapa kumpulan kecil umat Islam di republik Indonesia yang menggunakan kaedah perkiraan berbeza, telahpun memulakan ibadat puasa lebih awal.

Jamaah Pondok Pesantren Al-Karawi Kecamatan Ganding, Sumenep, Jawa Timur memulakan ibadat puasa mereka malam tadi.

Dua lagi kumpulan iaitu Jamaah An Nadzir di Gowa, Sulawesi Selatan dan Jamaah Tarekat Islam Naqsabandiyah di Sumatera Barat, pula mula berpuasa sejak semalam (Isnin).

Pimpinan Jamaah An Nadzir iaitu Lukman A Bakti di Sungguminasa, Gowa, Sulawesi Selatan, Ahad lalu dilaporkan sebagai berkata pihaknya menetapkan tarikh 1 Ramadan tahun ini selepas melihat tanda-tanda alam daripada air pasang di laut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Vanuatu Dilanda Gempa Bumi

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain