suria

Singapura Sambut Hari Kebangsaan Ke-45 Penuh Meriah

SINGAPURA: Ribuan warga Singapura dari segenap lapisan masyarakat, kebanyakkannya memakai baju berwarna merah, membanjiri kawasan Padang di sini petang Isnin untuk memeriahkan acara sambutan Hari Kebangsaan Ke-45 negara.

Para hadirin, termasuk jemputan asing yang berpusu-pusu di kawasan itu dihidangkan dengan pelbagai acara penuh meriah selama tiga jam, termasuk perbarisan oleh pasukan berpakaian seragam Singapura, persembaan nyanyian, koir dan pertunjukan tarian kebudayaan oleh ratusan belia tempatan.

Turut hadir ialah Presiden Singapura S.R.Nathan, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Menteri Mentor Lee Kuan Yew dam barisan menteri kabinet serta orang kenamaan.

Lee dalam amanatnya pada majlis itu berkata Hari Kebangsaan adalah peluang bagi rakyat Singapura untuk mengimbas kembali sejarah silam, menghargai apa yang sedang dikecapi dan memandang ke hadapan untuk menampilkan Singapura yang lebih cemerlang.

Beliau menggesa semua rakyat Singapura supaya sentiasa berwaspada kerana sebagai sebuah negara yang kecil, ia sentiasa terdedah kepada dunia yang tidak menentu.

Acara sambutan bermula dengan dentuman meriam 21 das penghormatan Presiden pada pukul 6 petang, dan disusuli dengan perbarisan angkatan bersenjata tiga cabang Angkatan Tentera Singapura, pasukan Polis Singapura, dan diikuti dengan kontinjen belia berpakaian seragam, anggota People’s Action Party serta beberapa syarikat terkemuka Singapura.

Sejumlah 20 pesawat tentera, termasuk pesawat terbaru jet pejuang F-15SG dan pesawat Gulfstream 550 Airborne Early Warning membuat penerbangan sulung dalam perbarisan hari ini, melintasi ribuan hadirin yang bersorak riang.

Helikopter Chinook turut melintasi perbarisan dengan membawa bendera merah putih Sungapura.

Orang ramai turut dipertontonkan dengan ketangkasan lapan anggota payung terjun dari pasukan Tentera Udara Singapura, yang terjun dari helikopter Chinook.

Ia diikuti dengan perbarisan kumpulan terbesar jentera tentera yang menyertai perbarisan, yang menampilkan 210 kenderaan tentera, kebanyakannya buatan Singapura. Penyanyi tempatan termasuk juara Singapore Idol, Sezali Sezairi dan Taufik Batisah, turut mempersembahkan medley lagu-lagu yang digubah khas untuk Hari Kebangsaan itu.

Acara sambutan yang disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen televisyen tempatan itu berakhir dengan pertunjukkan bunga api selama lima minit. - BERNAMA

Artikel Lain