suria

"Malaysia Truly Asia" Menjelma Di Bandar Raya Kuwait

KUWAIT CITY: Berbekalkan iringan anggota kumpulan penari tradisional dari Istana Budaya dengan pakaian indah mereka yang berwarna-warni, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen memulakan tanggungjawabnya untuk menarik seramai mungkin pelancong dari sini untuk berkunjung ke Malaysia, Ahad.

Beliau dilihat berjalan ke sana-sini menjenguk beberapa agensi pelancongan tempatan tanpa rasa jemu atau jerih, untuk memperkenalkan Malaysia kepada sesiapa sahaja yang sempat ditemuinya.

"Datanglah ke Malaysia, kami juga mempunyai beberapa tempat menyelam yang bagus seperti Pulau Sipadan," katanya semasa memujuk seorang pelanggan yang ditemui di sebuah agensi pelancongan di sini, yang dilihat sedang menimbang untuk ke Sharm El-Sheikh di Mesir untuk menikmati sukan itu.

Bercakap kepada wartawan Malaysia kemudiannya Dr Ng berkata: "Saya sangat gembira kerana anda dapat lihat betapa terkejutnya mereka apabila kami masuk ke sini. Pelancongan sebenarnya merujuk kepada interaksi dengan orang ramai.

"Ia bukannya hanya datang ke sini dan bercakap dengan beberapa orang dan kemudian hilangkan diri. Hari ini, saya sudah jual beberapa pakej," katanya.

Tinjauan Mesra Menteri di pusat bandar Kuwait City nampaknya memberi kesan positif.

"Kami amat hargai kunjungannya dan kami berharap akan dapat melakukan yang terbaik untuk Malaysia pada cuti musim panas ini. Kami benar-benar akan berikan semua sokongan kami," kata salah seorang ketua agensi pelancongan ketika ditemui Bernama di sini.

Dr Ng dalam persidangan media sebelum ini berkata Malaysia mensasar kunjungan 25,000 pelancong dari Kuwait tahun ini, berbanding 20,170 yang tiba di Malaysia tahun lepas.

Di setiap kesempatan yang diperolehinya di ibukota Kuwait ini, Menteri Pelancongan itu dilihat tidak jemu menceritakan kepada sesiapa jua mengenai keindahan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, dengan penekanan diberikan kepada keindaan alam semuajadinya, selain menggambarkan ia sebagai destinasi hebat untuk membeli belah, di samping menawarkan pelbagai makanan paling lazat.

"Malaysia memiliki hutan hujan diwarisi dari sekitar 130 juta tahun, 1,700 pulau dan antara beberapa tempat terbaik di dunia untuk aktiviti menyelam," katanya kepada beberapa anggota media di sini.

Dr Ng mengetuai rombongan Tourism Malaysia yang berkunjung ke Kuwait untuk menyertai pameran dua hari, selepas menghadiri acara Arabian Travel Market 2010 di Dubai, di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Usaha mempromosi pelancongan Malaysia di Kuwait diperkukuhkan lagi dengan pakej percutian "Discover One Malaysia" yang ditawarkan oleh pengusaha pelancongan Boodai Aviation Group, dan dilancarkan oleh Dr Ng pada persidangan akhbar itu.

Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan dengan Menteri Perdagangan dan Industri Kuwait Ahmad Rashed Al-Haroun untuk memaklumkan mengenai komitmen Malaysia terhadap pasaran Kuwait.

"Saya diberitahunya (Ahmed Rashed) bahawa di Kuwait anda perlu selalu mengingatkan orang ramai mengenai produk anda. Perancis sudah datang ke sini untuk menjayakan minggu Perancis, dan India datang untuk minggu India, jadi Malaysia perlu agresif dan memikirkan cara-cara untuk menyerlahkan kehadiran Malaysia di negara Teluk ini," kata Dr Ng.

Menurut Dr Ng, Menteri dari Kuwait itu menyambut baik peluang bagi negaranya melabur di Malaysia. Konsep "Malaysia Truly Asia" dilihat menjelma lebih ketara pada majlis makan malam gala ajuran Tourism Malaysia di Hotel Sheraton Ahad lepas, apabila segalanya mengenai Malaysia diketengahkan.

Para tetamu jemputan dihiburkan dengan pertunjukkan kebudayaan berwarna warni dan persembahan video yang mengasyikkan.

Di tengah-tengah majlis itu, Dr Ng tampil beria-ia memberi penjelasan kepada hadirin mengenai pelancongan serta kebudayaan, termasuk mengenai tarian, di Malaysia, dan beliau sendiri kemudiannya mengetuai beberapa persembahan tarian yang mempesonakan para hadirin.

"Roadshow di Kuwait sangat berjaya," katanya dan menambah semua semua pengusaha pelancongan yang ditemuinya di sini berjanji akan membawa lebih ramai pelancong ke Malaysia.

Katanya beliau juga berharap untuk kembali dengan kumpulan yang boleh menampilkan promosi lebih hebat bagi menjual pelbagai bentuk pelancongan yang terdapat di Malaysia, seperti pelancongan perubatan, pelancongan pendidikan dan hartanah.

Di Kuwait Dr Ng dibantu oleh Timbalan Ketua pengarah perancangan Tourism Malaysia Azizan Noordin, pengarah pejabat Tourism Malaysia Dubai Tuan Razali Tuan Omar dan Duta Besar Malaysia Kuwait Datuk Ashaary Sani.

Dr Ng berlepas ke Doha, Qatar, Isnin, untuk roadshow berikutnya yang disasar untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan kepada negara-negara Teluk. - BERNAMA

Artikel Lain