suria

Kemboja Sambut Baik Pelabur Malaysia

PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja Hun Sen hari ini menyambut baik pelabur Malaysia untuk meneroka bidang yang belum dibangunkan sepenuhnya di negara ini.

Beliau berkata bidang berkenaan termasuk pertanian, industri berasaskan pertanian, industri berintensif buruh, industri berasaskan eksport, minyak dan gas, pelancongan dan perlombongan.

"Kemboja telah membuka ekonominya kepada semua pelabur dan melayani sama rata pelabur asing dan tempatan," katanya pada Forum Perniagaan Kemboja-Malaysia di sebuah hotel di sini.

Negara itu katanya membuka ekonominya kepada semua sektor, termasuk perbankan, insurans dan telekomunikasi, dengan membenarkan 100 peratus ekuiti milik asing dalam sektor-sektor terbabit.

"Terbukaan ini membolehkan beberapa syarikat Malaysia merintis pelaburan dalam sektor perbankan dan telekomunikasi berbanding pelabur dari negara lain," katanya.

Jutawan Tan Sri Dr Chen Lip Keong yang membuka Naga World Hotel, Axiata dalam bidang telekomunikasi, Cambodia Utilities dalam penjanaan tenaga dan Cambrew untuk Angkor Beer, merupakan antara pelaburan Malaysia yang berjaya di negara ini, katanya.

Hun Sen juga mengumumkan pada forum itu mengenai Bank Negara Kemboja mengeluarkan Surat Kelulusan Secara Dasarnya untuk penubuhan dan operasi CIMB (Cambodia) PLC Bank, anak syarikat CIMB Bank Malaysia, pada 6 Mei.

Perdana Menteri itu menyambut baik pelaburan baharu ini dan mengharapkan kejayaan CIMB (Cambodia) dalam operasinya pada masa depan.

Beliau berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan rakyatnya kerana terus memberi sokongan menerusi latihan para pegawai serta menaja projek sekolah bestari untuk dua buah sekolah di Phnom Penh.

Hun Sen juga berterima kasih atas penerimaan 25,449 pekerja Kemboja di Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain