suria

Pakej Percutian 1Malaysia Dilancar Di Pameran Pelancongan Dubai

DUBAI: Firefly Holiday, sebuah portal pelancongan yang menawarkan pakej percutian di seluruh dunia dengan kemudahan tempahan, dilancar secara rasmi sempena Arabian Travel Market (ATM) 2010 yang berlangsung di sini Rabu.

Ia dilancarkan Menteri Pelancongan Malaysia Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, yang turut melancarkan pakej percutian 1Malaysia yang ditawarkan Malaysia Airlines.

"Firefly Holiday adalah sesuai untuk semua perjalanan kerana ia menawarkan kemudahan bermula dari membuat tempahan sehingga tiba ke destinasi yang dikehendaki," katanya pada majlis yang diadakan di pavilion Malaysia.

Bagi operator pelancongan, ia menyediakan kemudahan menyeluruh untuk semua perjalanan.

"Pada dasarnya, mereka adalah rakan kongsi tempatan secara online, oleh itu kemudahan yang ditawar bukan hanya kepada pelancong tetapi juga ejen," kata Ng.

Sejak ditubuhkan pada April 2008, Firefly Holiday hanya menawarkan pakej kepada rakyat Malaysia dan serantau, untuk lebih 100 destinasi Malaysia Airlines di seluruh dunia melalui pakej percutian antarabangsanya.

Firefly Holiday adalah anak syarikat Malaysia Airlines.

Pengarah urusan Firefly Datuk Eddy Leong berkata: "Kami akan bekerja secara agresif dengan ejen pelancongan di sini di ATM untuk menarik mereka bekerjasama dengan kami dan memasarkan Firefly Holiday kepada pelanggan mereka".

Sejak memulakan perkhidmatan ke Singapura pada Julai 2009, penerbangan Firefly telah menghubungkan pelancong dari Singapura ke pelbagai destinasi di Malaysia seperti Kuala Lumpur melalui Subang, Terengganu, Ipoh dan Kuantan.

Sementara itu, "1Malaysia Summer Specials" ditawarkan oleh MASholidays, cawangan pelancongan Malaysia Airlines.

Pakej percutian yang ditawarkan bermula dari serendah 2,446 dirhams (RM2,150) seorang, termasuk tiket pergi balik kelas ekonomi Malaysia Airlines, penginapan empat hari tiga malam berserta sarapan pagi.

Tempoh perjalanan ialah dari sekarang hingga 31 Julai 2010.

Pengurus besar wilayah Malaysia Airlines untuk timur Tengah, Afrika dan Amerika Selatan Merina Abu Tahir berkata: "Pelanggan mempunyai pelbagai bentuk pilihan percutian iaitu dari membeli belah di Kuala Lumpur sehingga percutian di pantai Pulau Pinang dan Langkawi serta eko-pelancongan di Sabah dan Sarawak". - BERNAMA

Artikel Berikut

Gempa Bumi 6.4 Gegar Chile

Artikel Lain