suria

Mahkamah India Jatuhkan Hukuman Mati Terhadap Penyerang Mumbai

MUMBAI: Mahkamah di sini hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap satu-satunya penyerang bersenjata api yang masih hidup dalam serangan keatas Mumbai pada 2008.

Hakim M.L. Tahaliyani membuat keputusan itu tiga hari selepas Mohammed Ajmal Kasab didapati bersalah atas dakwaan membunuh kerana melancarkan perang ke atas India.

Serangan berlarutan selama tiga hari berturut-turut tersebut mengakibatkan 166 nyawa terkorban.

Seramai 10 pemuda bersenjatakan senapang menyerang dua hotel mewah, sebuah pusat keyahudian dan sebuah stesen keretapi.

Kasab didakwa membunuh puluhan orang awam di stesen keretapi bersama seorang rakannya yang terkorban.

Hukuman mati itu akan dikaji semula oleh Mahkamah Tinggi. Kasab turut boleh membuat rayuan memohon belas kasihan dengan kerajaan negeri dan pusat terhadap keputusan mahkamah itu.

Hakim berkata Kasab menyertai kumpulan militan itu atas kapasitinya sendiri dan dilatih menjadi seorang pejuang.

"Orang sebegini tidak boleh diberi peluang untuk berubah," katanya.

Kasab menutup wajahnya dengan tangan sambil menangis ketika hukuman itu diumumkan.

Hukuman mati di India dijalankan dengan menggantung pesalah sampai mati. - AP

Artikel Lain