suria

Seramnya! Patung terselit nota bunuh sambut pemilik rumah baharu

PATUNG itu ditemui bersama sepucuk nota ketika Lewis mahu memecahkan dinding berkenaan yang berada di bawah tangga. — Agensi

SEORANG guru sekolah rendah di Britain menemui sebuah patung misteri dengan nota pengakuan pembunuhan yang diletakkan di sebalik dinding plaster yang terdapat di dapur rumah baharunya.

Guru tersebut, Jonathan Lewis, 32, baru sahaja membeli rumah tersebut yang terletak di Walton, Liverpool.

Patung itu ditemui ketika dia mahu memecahkan dinding berkenaan yang berada di bawah tangga untuk melihat punca wayar tergantung di bahagian itu.

Menurutnya, dia baru sahaja membeli rumah itu dan mendapat kunci pada Jumaat minggu lepas.

"Saya tahu ada kekosongan di bawah tangga yang telah dilapisi dengan plaster.

"Terdapat wayar yang terkeluar apabila pemilik sebelumnya meletakkan peti sejuk di situ tetapi saya tidak tahu di mana wayar itu dipasang sehingga saya mengetuk sedikit dinding tersebut untuk melihat apa yang ada di dalamnya," katanya.

Tambah Lewis, pada awalnya dia terkejut melihat ada sebuah patung bersama sepucuk nota bersamanya.

Lewis mendedahkan isi nota itu yang bertulis;

"Pembaca yang dihormati/ pemilik rumah baharu,

"Terima kasih kerana membebaskan saya!

"Nama saya Emily. Pemilik asal saya tinggal di rumah ini pada tahun 1961. Saya tidak suka mereka jadi mereka mesti pergi.

"Semua yang mereka lakukan adalah menyanyi dan bergembira. Itu memualkan. Menikam adalah pilihan kematian saya untuk mereka, jadi saya harap anda mempunyai pisau.

"Harap awak tidur lena."

Susulan penemuan itu, Lewis dinasihatkan oleh rakan-rakan supaya menjual semula rumah berkenaan kerana gusar akan keselamatan lelaki itu.

Dia bagaimanapun tidak mengambil serius akan hal itu dan menganggap bahawa ia sekadar gurauan semata-mata.

Katanya, dia mungkin akan melakukan perkara sama jika ingin menakutkan seseorang.

"Surat itu menyatakan bahawa dia pemilik rumah ini pada tahun 1961 tetapi ejen harta tanah mengatakan bahawa dapur tersebut diubah suai empat atau lima tahun yang lalu.

"Saya rasa patung itu mesti diletakkan di sana ketika itu kerana kertas nota tersebut kelihatan agak baru," ujarnya. — Agensi

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Liverpool, Lewis, patung, misteri, nota, bunuh

Artikel Berkaitan

Artikel Lain