suria

Eizlan Yusof bergelar suami wanita Serani, bakal adakan majlis empat hari berturut-turut dengan kos RM1 juta

Eizlan bergelar suami Natasha pada Khamis.

PELAKON Datuk Seri Eizlan Yusof selamat diijab kabul dengan suri hati pilihannya, Natasha Rosa Boudville, 29, dengan sekali lafaz pada Khamis.

Pasangan ini disatukan dalam majlis penuh istiadat dan meriah di The Glass Suite, Bora Ombak, Marina Putrajaya, kira-kira pukul 3.28 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Eizlan Yusof bakal tamatkan zaman duda dengan wanita Serani 29 tahun - “Sebelum melamar saya minta izin anak-anak dahulu”

Pasangan itu dinikahkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) Persekutuan, Kolonel Bersekutu (PA) Mohd Ajib Ismail.

Eizlan menyerahkan mas kahwin sebanyak RM80 dan sebentuk cincin berlian, selain wang hantaran berjumlah RM12,121.90.

Natasha yang berketurunan Serani memeluk Islam pada Ogos tahun lalu itu menyerahkan lima dulang hantaran, berbalas tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki.

Eizlan sah menjadi suami Natasha dengan sekali lafaz.

Sebelum upacara akad nikah, Eizlan diarak menyeberangi tasik Marina Putrajaya menaiki bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan diiringi beberapa pegawai tertinggi dan bersekutu agensi itu.

Selain itu, majlis turut diserikan dengan upacara berbalas pantun dari kedua-dua pihak sebagai sebahagian daripada kemeriahan adat tradisi Melayu.

"Sejujurnya banyak elemen kejutan yang dirahsiakan dari saya sendiri tetapi disediakan rakan-rakan dalam menjayakan majlis pada hari ini.

"Saya sangat terharu dengan sokongan mereka yang sudi menjadikan majlis pada hari ini sangat meriah," kata Eizlan kepada mStar.

Majlis resepsi pasangan ini bakal diadakan pada Jumaat di lokasi yang sama.

Pada malam resepsi, Eizlan dan Natasha bakal diberi penghormatan istiadat penuh APM antaranya perarakan 'sword bearer' (silang pedang) oleh barisan pegawai beserta pancaragam 'bagpipe'.

Majlis perkahwinan Eizlan dan Natasha berlangsung selama empat hari berturut-turut dan menelan kos lebih RM1 juta.

Artikel Lain