suria

Lebih 4 tahun biar diri dikasari suami, isteri baru tahu maksud keganasan rumah tangga - “Dia tarik telinga, campak saya atas katil dan ketawa”

Seorang suami tidak boleh menggunakan kekerasan terhadap isterinya. -Gambar hiasan

PENDERITAAN seorang isteri berakhir apabila dia memutuskan untuk bercerai pada 8 Januari lalu.

Menurut wanita itu yang hanya ingin dikenali sebagai Sarah, perkahwinannya cuma bertahan selama lebih empat tahun selepas mendakwa bekas suaminya melakukan keganasan rumah tangga.

Malah, dakwanya lagi, satu persatu sikap buruk suaminya terbongkar selepas mereka berkahwin membuatkan dia berasa tertipu dengan lelaki yang amat disayangi dan dicintainya itu.

"Saya berpisah dengan dia selepas empat tahun bersama. Sebab utama bercerai adalah disebabkan saya mangsa domestic abuse suami. Minggu sebelum ni pun saya sudah buat laporan polis berkenaan ini.

"Saya ada bukti dia pegang tangan saya sampai lebam. Dua minggu lepas kejadian tu pun lebam masih tak hilang. Atas alasan apa saya dipukul pun saya tak tahu.

19117645

Isteri diseru mendapatkan pertolongan sekiranya dikasari suami. -Gambar hiasan

"Ada kalanya saya balik kerja, dia tarik telinga saya dan campak atas katil dan dia ketawa lepas tu. Masa saya tengah bercakap pun, dia akan cekik dan campak ke belakang. Saya cuba pertahankan diri tapi tak mampu sebab saiz dia tiga kali ganda dari saya," katanya di platform media sosial.

Menurut Sarah, sepanjang tempoh perkahwinannya, dia tidak menyedari bahawa perbuatan suaminya itu adalah salah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Tambahnya lagi, rumah tangganya juga tidak bahagia yang mana hubungan dia dan suami diibaratkan cinta bersulam dusta.

Bagaimanapun, selepas berpisah dia berasa terpanggil untuk berkongsi kisah dan pengalamannya bagi memberi peringatan dan kesedaran kepada wanita lain yang senasib dengan dirinya.

"Dia hina saya macam-macam. Dia panggil saya N**ger, perempuan jalang, tak guna, pemalas, bi*c* dan suka habiskan duit. Sedangkan dia pun gunakan kereta Perodua Viva saya sampai 'lunyai'.

ARTIKEL BERKAITAN: Adik takut sikap ganas kakak... Diugut pukul jika balik rumah beraya, mak ayah dibelasah teruk!

ARTIKEL BERKAITAN: Ayah kaki pukul, mak lari ikut lelaki lain! Nasib murid kelas belakang buka mata cikgu... Suasana di rumah mereka dah cukup ‘keras’

"Tapi disebabkan sayangkan suami, saya masih teruskan hubungan dengan dia walaupun dipukul dan dihina. Saya hanya sedar diri dah jadi mangsa keadaan apabila diberitahu bapa saudara sendiri.

"Dia (bapa saudara) ada datang betulkan sesuatu di rumah. Masa tu kami tengah gaduh jadi pergaduhan tu terkantoi dengan pakcik. Jadi dia la yang beritahu yang saya ni mangsa penderaan suami," ujarnya lagi.

Sarah berkata, dia bagaimanapun berasa lega apabila dia tidak mempunyai zuriat sepanjang berumah tangga membuatkan proses untuk berpisah lebih mudah.

Bercerita lanjut, Sarah berkata, dia berasa diri dan kepercayaannya selama ini dikhianati apabila mendakwa banyak penipuan suaminya hanya diketahui selepas mereka hidup bersama.

Mengimbas mengenai perkahwinan mereka pada 8 September 2019, Sarah berkata dia tidak meminta sebarang duit hantaran dan ketika itu dia masih menuntut di sebuah universiti dalam bidang akaun.

Keganasan ni bukan bermaksud dia pukul je, kata-kata kesat pun sama.

SARAH

"Sepatutnya tahun ni kami adakah majlis persandingan sebagaimana dirancangkan. Dulu kami hanya bernikah dengan mengeluarkan kos RM5,000 dengan jemputan 500 tetamu.

"Masa kami berkahwin, mak ayah dia tak tahu. Itu pun saya dapat tahu pun selepas bercerai. Mak dia beritahu penceraian kami tu 'kifarah' sebab kahwin tanpa pengetahuan mereka.

"Masa kami nikah pun dia cuma bawa mak angkat dia saja sebagai wakil. Tapi saya mula syak apabila dia pernah ajak saya dan keluarga beraya di rumah dia pada 2022 tapi kami bermalam di tempat lain. Alasannya rumah tak muat. Dia pun kenalkan saya sebagai kekasih saja masa tu," dakwanya.

Kata Sarah lagi, dia kini sudah selesai menjalani tempoh edah dan sedang menunggu dokumen penceraian.

Wanita tidak seharusnya bersabar dengan suami kaki pukul. -Gambar hiasan

Bukan itu sahaja, Sarah juga mengakui dirinya kini sudah bersedia dan lebih terbuka untuk berkenalan dengan lelaki baharu dalam hidupnya.

Sepertimana yang dijelaskan dalam video, tujuan perkongsiannya ini adalah sebagai peringatan dan nasihat supaya lebih ramai yang bertindak selepas sedar mereka hidup dengan pasangan salah.

"Kalau anda hidup dengan pasangan yang abusive, sila ambil tindakan. Ambil gambar apa-apa bahan atau terjadi dekat diri sebagai bukti. Keganasan ni bukan bermaksud dia pukul je, kata-kata kesat pun sama.

"Jangan kasihankan suami bersikap macam tu. Jangan nak jaga nama suami perangai macam tu sampai tak sanggup nak buat laporan polis. Cari pertolongan dekat tempat yang betul.

"Jangan tanya orang sekeliling kita sebab mungkin mereka cari pelbagai alasan contohnya dia tak sengaja (terpukul). Kalau sekali tu tak sengaja... tapi kalau hari-hari macam tu? Fikir-fikirkanlah. Jaga diri selalu," dia menitipkan pesanan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain