suria

Wanita tua di wad merungut ada anak cacat perlu dijaga di rumah... Segala terbongkar selepas waris dedah siapakah makhluk itu

Kemunculan lembaga yang dipercayai saka ketika sedang tidur memang menyeramkan. - Foto Sekadar Hiasan

PANGGILAN telefon memaklumkan ibu tersayang dimasukkan ke hospital membuatkan Nazira Frijand Ali bergegas pulang ke kampung untuk menjaganya.

Sejurus sampai di hospital, Nazira terus bersalam dan memeluk erat ibunya yang terlantar atas katil namun perhatiannya terganggu dengan seorang pesakit yang berada selang dua katil di bahagian depan dari tempatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami yang kacau kawasan dia” - Rumah 9 bilik ada ‘penghuni asing’, gangguan bermula selepas pembeli abai pesanan owner lama

Katanya, wanita itu mula bercakap sendirian dan merengek sambil mengurut kaki sendiri yang melunjur sambil matanya memandang ke arah Nazira.

"Dia asyik cakap tiada siapa yang nak menjaganya, dia mahu balik dan mahu menjaga anaknya yang cacat.

"Cara bercakap itu seperti ingin berbual dengan saya tetapi saya hanya balas pandangannya dengan senyuman dan terus menyantuni ibu saya yang lebih perlukan perhatian," katanya.

553 (1)

Keadaan yang sunyi di hospital memang menyeramkan.

Pada awalnya kata Nazira, sikap wanita berusia separuh abad itu dianggap sebagai ragam biasa di hospital namun semakin hari, sikapnya bertambah teruk.

Wanita itu akan mula bercakap sendirian dan merungut tentang pelbagai perkara setiap kali melihat Nazira memberi perhatian kepada ibunya seperti menyuapkan makan, mengelap badan dan membawa ke tandas.

Kata Nazira, wanita itu juga sering mengulangi kata-kata yang pernah diungkapkan iaitu mahu pulang kerana ingin menjaga anaknya yang cacat.

"Dia macam seolah-oleh cemburu dan ingin mencari perhatian setiap kali dia melihat saya menyantuni ibu. Tapi saya pelik juga, sebab sudah beberapa hari di hospital tiada siapa menjenguknya.

"Saya fikir mungkin disebabkan anaknya cacat membuatkan dia sukar untuk datang ke hospital seperti sering disebut wanita tersebut," ceritanya.

Terdetik juga di dalam hatinya ada sesuatu tidak kena dengan wanita itu apatah lagi pandangannya cukup menyeramkan.

Lampu wad di pasang sehingga ke pagi, berdegup kencang jantung saya memikirkan apa yang sedang berlaku. Adakah saka wanita itu yang menggangunya malam itu?

NAZIRA FRIJAND ALI

Menerusi pengalaman, Nazira merasai wanita itu mempunyai saka apatah lagi dia enggan membalas pandangan mata setiap kali dia memandangnya.

"Dia selalu perhatikan saya tetapi apabila saya pandang dan bercakap dengannya, dia akan menundukkan kepala dan mengalihkan pandangan. Sehinggalah pada satu malam, apa yang saya fikirkan ternyata benar," ujarnya.

Selepas ibunya melelapkan mata, Nazira membentangkan toto di tepi katil kerana berasa begitu letih dan berharap dapat tidur lena malam itu.

Hari semakin lewat, malah jururawat juga sudah memadamkan lampu. Keadaan di dalam wad juga sunyi dan hanya kedengaran bunyi bilah kipas dan semua pesakit sudah pun tidur.

Entah bila Nazira terlelap namun dia tiba-tiba tersedar apabila melihat kelibat makhluk hitam mengesot ke arahnya.

"Dalam kesamaran saya pandang dua kali dan memang betul ada sesuatu sedang menghampiri saya. Saya cuba beri amaran kepadanya, tetapi ia tidak mengendahkan dan terus bergerak ke arah saya.

553

Mimpi yang dialaminya seolah-olah benar.

"Saya berdiri dan membaca pelbagai surah. Peliknya, seperti ada seseorang yang mengajar saya apa yang hendak dilakukan. Saya baca surah yang disuruh.

"Saya ambil segelas air dan renjiskan kepada makhluk itu sebelum ia tiba-tiba melompat ke atas badan seorang pesakit yang sedang tenat di hadapan katilnya dan seolah-olah cuba untuk masuk ke dalam badan pesakit itu," kongsinya.

Melihat perkara itu, Nazira sekali lagi mengulang perkara dilakukan sebelum ini dan kelihatan makhluk itu melompat masuk melalui mulut wanita itu yang sedang tidur.

"Ketika itu saya lihat wanita berkenaan mengeluarkan bunyi seperti orang tercekik dan sukar bernafas.

"Saya tiba-tiba tersedar... rupa-rupanya apa berlaku itu adalah mimpi. Namun saya tersedar itu disebabkan terkejut kerana terdengar wanita berkenaan sedang tercekik seperti mana dalam mimpi," katanya.

Ketika jururawat datang membantu, wanita itu meminta tolong menghalau saka miliknya kerana ia menggangu orang lain di dalam wad itu.

First-Western-Hospital-Koh-Phangan-general-ward-4

Kejadian yang berlaku tersemat dihati Nazira.

Jururawat yang terkejut berlari ke arah kaunter dan membuka semua lampu di dalam wad sebelum memberikannya suntikan untuk membolehkannya bertenang dan tidur.

"Lampu wad di pasang sehingga ke pagi, berdegup kencang jantung saya memikirkan apa yang sedang berlaku. Adakah saka wanita itu yang menggangunya malam itu?

"Dua hari kemudian barulah waris wanita itu hadir dan saya sempat bertanya mengenai keadaan anak wanita yang cacat seperti diperkatakan. Namun saya terkejut selepas diberitahu ibu berkenaan ada membela saka yang kelihatan seperti orang cacat.

"Menurut waris itu, sudah pelbagai usaha dibuat bagi membuang saka itu namun tidak pernah berjaya," katanya.

Kejadian itu kata Nazira sering muncul dalam fikirannya setiap kali berkunjung ke wad dan sehingga kini dia seperti sukar mempercayai apa yang berlaku kepadanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain