suria

Kejadian pelik, bunyi bising dalam rumah... Wanita terkejut dapat kepala patung dalam bungkusan hadiah percuma

Kepala patung dan rambut palsu berbentuk sanggul yang diberikan percuma oleh seorang peniaga online kepada Nadie.

JIKA ada yang pernah menonton filem Child's Play pasti ramai berasa trauma dengan patung bernyawa dikenali sebagai Chucky yang melakukan pelbagai kejahatan terhadap manusia.

Malah ada orang pernah menjadi trauma untuk bermain dengan patung gara-gara filem itu kerana terbayang sekiranya ia hidup dan mencekik anda ketika tidur.

Itu juga yang berlaku kepada seorang wanita iaitu Nadie Othman selepas seorang peniaga dalam talian bermurah hati untuk memberi kepadanya hadiah berupa barangan kecantikan termasuk kepala patung yang digunakan pelajar salun untuk belajar mendadan rambut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi lagun Kuala Semerak... Mangsa lemas masuk ICU, nampak entiti tarik sepupu sebelum ditemui mati

Pada awalnya kata Nadie dia tidak berasa curiga dengan pelawaan peniaga tersebut malah berasa terima kasih dan terharu dengan niat murninya ingin menghadiahkan beberapa barangan kepadanya.

"Saya membeli barangan terpakai dalam talian daripada seorang peniaga dan kemudiannya dia menghubungi saya memberitahu ingin memberi beberapa barangan kecantikan miliknya secara percuma.

"Tidak berfikir niat di sebaliknya, saya fikir mengapa tidak," katanya yang berasal dari Singapura.

Sejak menerima kepala patung ini, Nadie mengalami mimpi seram.

Mimpi diganggu makhluk halus dua malam berturut-turut!

Bagaimanapun kata Nadie, dia mula berasa pelik apabila peniaga itu menawarkan diri untuk menghantar sendiri barangan tersebut walaupun sudah memberitahu akan mengambilnya dalam masa beberapa hari lagi.

"Dia ingin menghantar barang itu pada malam itu juga! Tapi saya beritahu boleh serah kepada ibu mertua saya pada keesokan hari dan dia bersetuju untuk datang ke rumah.

"Saya kagum dengan kesungguhannya... Siapa sangka peniaga itu bersungguh-sungguh untuk menghantar barang percuma di depan pintu rumah," katanya.

Namun kisah seram Nadie bermula apabila dia mula mengalami mimpi seram selama dua malam berturut-turut sejak barang tersebut tiba di rumahnya.

Kata Nadie, dia berasa seperti ada sesuatu yang 'mengikutinya' dalam mimpi tersebut. Sebelum ini dia tidak pernah mengalami mimpi sedemikian.

"Ketika didatangi mimpi buruk itu, saya masih belum sentuh barang berkenaan tetapi sejak ia berada dalam rumah, saya mula mengalami mimpi buruk dan menyeramkan," ceritanya.

Selama bertahun-tahun tinggal di rumah itu, tidak pernah sekali pun ibu mertua rasa seram dan mengalami kejadian pelik seperti itu.

NADIE OTHMAN 

Ibu mertua pula diganggu ketika seorang diri

Tidak mengesyaki apa-apa pada awalnya, Nadie bagaimanapun terkejut apabila menerima mesej daripada ibu mertuanya pada pukul 1 pagi memintanya memulangkan barang tersebut kepada pemilik asalnya.

Cerita ibu mertuanya, sejak barang-barang itu sampai ke rumah, dia sentiasa merasakan 'kehadiran' sesuatu di dalam rumah mereka.

Lebih menyeramkan, ibu mertuanya merasakan seperti ada sesuatu yang memerhatikannya setiap kali tiada orang di rumah.

"Ada satu malam, ketika ibu mertua sedang menonton televisyen seorang diri, dia terdengar bunyi bising dari bilik tempat barang itu diletakkan.

"Meskipun ibu mertua cuba mengabaikan apa yang didengarnya tetapi ia semakin menjadi-jadi. Paling menakutkan ia berlaku ketika ibu tinggal seorang diri di rumah.

"Selama bertahun-tahun tinggal di rumah itu, tidak pernah sekali pun ibu mertua rasa seram dan mengalami kejadian pelik seperti itu," katanya.

Nadie menasihatkan agar jangan mudah menerima barangan percuma tanpa usul periksa. - Gambar Sekadar Hiasan

Demam selepas buka bungkusan kepala patung dan rambut palsu sanggul

Selepas mendengar cerita ibu mertuanya, Nadie berkata, dia tergerak hati untuk membuka bungkusan yang dihantar kepadanya dan terkejut apabila melihat kepala patung selain rambut palsu dalam bentuk sanggul di dalam kotak.

"Naik bulu roma saya... Terkejut saya melihat barang-barang dalam bungkusan itu. Mungkin Allah ingin melindungi saya apabila tidak dapat bertemu sendiri dengan peniaga itu, jika tidak, tak tahulah," ceritanya.

Selepas membuka bungkusan itu, Nadie berkata, dia jatuh sakit dan mengalami demam panas.

"Ia mungkin kebetulan tetapi saya hanya mampu berharap Allah melindungi saya daripada individu yang mempunyai niat tidak baik kepada orang lain.

"Saya kongsi kisah ini juga dengan harapan agar orang lain berhati-hati dengan pemberian orang dan benda yang dibawa masuk ke dalam rumah," katanya.

Tidak mahu perkara ganjil terus berlaku, Nadie akhir membuang barangan tersebut dan sejak itu, kejadian pelik dan mimpi nyeri yang dialaminya tidak berlaku lagi.

Artikel Lain