suria

Adidas anjur kempen bersukan sambil menderma! Setiap 10 minit pergerakan, 1 euro akan disalur ke badan kebajikan

Aktiviti Indoor Cycling berlangsung di Plaza Zurich sempena kempen Move For The Planet pada 2 Jun.

ADIDAS melancarkan kempen Move For The Planet sebagai satu inisiatif global baharu yang memanfaatkan aktiviti kolektif komuniti sukan di seluruh dunia.

Menerusi kempen dianjurkan, Adidas berikrar untuk menderma sebanyak €1 (RM4.77) kepada Common Goal untuk setiap 10 minit aktiviti atau pergerakan yang direkodkan bagi 34 sukan dalam aplikasi Running oleh Adidas antara 1 hingga 12 Jun tahun ini.

Sumbangan yang diberikan sehingga €1.5 juta (RM7.35 juta) tersebut akan menyokong projek di seluruh dunia yang mendidik dan melibatkan komuniti tentang kemampanan melalui sukan.

Menurut Pengarah Kanan, Pemasaran Tujuan Global Adidas, Ashley Czarnowski, Move For The Planet merupakan peluang untuk memanfaatkan kecintaan dunia terhadap sukan bagi menyokong beberapa komuniti paling memerlukannya.

"Kesan krisis iklim dirasai lebih teruk di beberapa kawasan berbanding tempat lain, namun, satu perkara yang menyatukan kita semua ialah kecintaan terhadap sukan.

"Jadi, antara 1 hingga 12 Jun, kami menggalakkan komuniti sukan global untuk menyertai gerakan dan bersama-sama ke tempat kami bersukan. Tidak kira bagaimana kita bergerak, kita bergerak untuk membuat perubahan," katanya.

Sempena pelancaran acara tersebut yang berlangsung pada 2 Jun, Adidas menjemput beberapa peserta dan dua selebriti, Hisyam Hamid dan Fariha Razak untuk menyertai aktiviti indoor cycling yang diadakan di Plaza Zurich, Bukit Damansara, Selangor.

Hisyam turut menggalakkan orang ramai untuk memuat turun aplikasi Running oleh Adidas bagi mengambil bahagian dalam kempen Move For The Planet.

"Sekarang ini Adidas sedang mengadakan satu kempen dinamakan Move For The Planet di mana setiap pergerakan selama 10 minit, Adidas akan dermakan 1 euro kepada kebajikan terpilih.

Aplikasi Running oleh Adidas boleh dimuat turun daripada telefon pintar.

"Jadi anda semua jangan lupa muat turun aplikasi Running oleh Adidas dan daftar kalau nak turut serta. Mulakan bergerak, tak kisahlah apa jenis sukan sekali pun," ujarnya.

Common Goal akan mengarahkan sumbangan yang dibangkitkan oleh Move For The Planet kepada projek di negara termasuk Colombia, Greece, Afrika Selatan dan Pakistan.

Sama ada memperbaharui padang sukan komuniti menggunakan bahan kitar semula atau menyediakan latihan tentang cara mengurangkan sisa plastik di kemudahan sukan, pelbagai program telah dipilih memfokuskan kepada beberapa tempat yang paling terjejas akibat kesan perubahan iklim.

Move For The Planet adalah sebahagian daripada inisiatif kemampanan Adidas lebih luas ketika syarikat meneruskan misinya untuk menjadi yang terbaik untuk planet ini.

Kepada mereka yang berminat boleh mengetahui lebih lanjut mengenai Move For The Planet boleh ke Instagram rasmi Adidas Malaysia dan mendaftar melalui Adidas Running App untuk mula mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain