suria

Rapatkan jurang kandungan penstriman mesra Muslim, tekan konsep hiburan berasaskan kepercayaan

Qalbox tampil berusaha merapatkan jurang dengan menyediakan hiburan mesra-Muslim terbaik.

MENONTON televisyen bersama-sama adalah salah satu cara untuk mengeratkan hubungan seisi keluarga.

Selama bertahun-tahun, kaum keluarga berkumpul di hadapan televisyen untuk menonton rancangan berjadual yang ada kalanya tidak menepati cita rasa.

Bagaimanapun, situasi ini mula berubah dengan kemasukan perkhidmatan atas permintaan antaranya Netflix, Prime Video dan Disney+ yang membolehkan pengguna untuk menonton rancangan kegemaran mereka pada bila-bila masa, di mana sahaja dan di pelbagai peranti.

Oleh itu, tidak menghairankan apabila video langganan mengikut permintaan (SVoD) global diramalkan mencecah pendapatan AS$1.68 bilion (RM7.43 bilion) menjelang 2027.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Bitsmedia, Nik Emir Din, kajian baharu oleh The Trade Desk, satu trend yang menjadi ikutan di Malaysia juga; satu pertiga (34 peratus) daripada penonton Asia Tenggara kini menstrim media-lepas-plantar (OTT).

"Pada tahun 2021, Malaysia merekodkan seramai 14.1 juta pengguna pada platform penstriman, mewakili 78 peratus penonton berumur 15 tahun ke atas daripada populasi.

"Dengan persaingan untuk penonton yang semakin sengit, kandungan pada platform penstriman berkembang secara provokatif.

"Banyak rancangan mencipta buzz sosial dengan menampilkan satu atau beberapa faktor kejutan, sama ada babak mengerikan, keganasan atau paparan grafik lain, untuk memacu kadar langganan," ujarnya.

Justeru menurut Nik Emir, pendekatan terhadap penciptaan kandungan ini menyebabkan Malaysia yang kebanyakan penduduknya beragama Islam teramat kurang diberikan perkhidmatan.

"Sementara banyak rancangan yang menghiburkan, mungkin terdapat konflik untuk penonton apabila melihat kandungan yang tidak selari dengan kepercayaan dan gaya hidup harian mereka.

"Secara keseluruhannya, banyak penyedia perkhidmatan masih kekurangan media yang berunsur pendidikan dan boleh digunakan secara bebas oleh penonton Muslim," katanya lagi.

Jurang dalam hiburan berasaskan kepercayaan

Dengan 1.9 bilion umat Islam di seluruh dunia, tidak hairanlah pasaran hiburan Muslim berkembang pesat.

Di peringkat global, kini didapati bahawa masyarakat Muslim membelanjakan $222 bilion (RM982 bilion) untuk media dan rekreasi pada 2019 dan dijangka membelanjakan $270 bilion (RM1.12 trilion) pada 2024, yang membuka pintu luas untuk khidmat penstriman berasaskan kepercayaan untuk menerokai pasaran ini.

"Ini amat benar terutamanya di Malaysia. Apabila penonton tempatan kami ditanya apa yang mereka ingin lihat bila disebut tentang hiburan mesra-Muslim pada khidmat penstriman, kami mendapati bahawa rakyat Malaysia inginkan lebih banyak kandungan pendidikan dan sejarah yang sejajar dengan kepercayaan mereka.

"Melangkah garis halus di antara 'hiburan' dan 'mesra-Muslim' bukanlah mudah. Mungkin inilah sebabnya kebanyakan platform penstriman hiburan berasaskan kepercayaan lebih cenderung kepada pilihan kedua.

"Ini kerana ia memberikan pilihan yang lebih selamat untuk syarikat di samping mempunyai pustaka kandungan yang pelbagai dan menghiburkan yang mesra untuk penonton Muslim yang lebih luas," ujar Nik Emir.

qalbox 1

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Bitsmedia, Nik Emir Din (kiri) dan Fara Abdullah ketika pelancaran Qalbox.

Dalam usaha membantu menangani permintaan ini, Nik Emir berkata aplikasi Muslim Pro baru-baru ini telah mengembangkan perkhidmatannya ke Qalbox, platform khidmat penstriman global yang meraikan hiburan mesra-Muslim terbaik.

"Ia adalah yang pertama seumpamanya yang mengandungi tajuk memenuhi kedua-dua kriteria, merangkumi kandungan pendidikan tentang sejarah Islam, kepada program berskrip dan tanpa skrip tentang cara masyarakat Muslim di bahagian dunia lain menjalani kehidupan mereka," kata beliau

Jalan ke hadapan untuk hiburan Muslim

Langkah seterusnya untuk khidmat penstriman adalah memastikannya berkembang dan menjadi lebih inklusif bagi pelbagai segmen penduduk.

Tambah Nik Emir, dengan mencipta dan mengedarkan kandungan berasaskan kepercayaan.

Contohnya, masyarakat Muslim Malaysia boleh diperkasakan dengan sebenarnya untuk menggunakan media yang menepati gaya hidup mereka dan tidak menimbulkan konflik dalaman atau luaran yang bertentangan dengan kepercayaan dan amalan mereka.

"Khidmat penstriman berasaskan kepercayaan bukan sahaja menciptakan platform yang selamat untuk komuniti menggunakan kandungan yang selaras dengan ajaran Islam, tetapi juga memberikan ketenangan fikiran kepada penonton untuk diri mereka dan keluarga.

"Di sebalik ini, terdapat peluang untuk menggunakan wawasan dan pengajaran dari khidmat penstriman yang lain untuk mengubah suai platform yang berkhidmat kepada pelbagai penduduk Muslim global.

"Khidmat hiburan berasaskan kepercayaan bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi menciptakan platform yang disusun dengan teliti dan disederhanakan dengan berkesan merupakan satu perubahan yang amat diperlukan bagi masyarakat Muslim Malaysia," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain