suria

Status OKU tak halang Latif Romly kejar impian, ini 15 fakta menarik atlet paralimpik negara bergelar Datuk!

Pencapaian cemerlang Abdul Latif Romly dalam sukan mendapat pengiktirafan apabila atlet para itu mendapat gelaran Datuk.

SEHARI sebelum bertanding menerusi acara lompat jauh di temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo pada 4 September lalu, atlet kebangsaan Abdul Latif Romly memberitahu pencapaian terbesar seorang juara bukan kerana pingat tetapi semangat terus berjuang untuk menang adalah perkara paling utama.

Abdul Latif membuktikan kata-katanya itu apabila satu dunia menyaksikan beliau berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro pada 2016 dalam acara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! Abdul Latif, Mun Yee kini bergelar Datuk

Kemenangan itu tidak mudah malah penuh dramatik apabila pemuda berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan ketika lompatan kelima akibat salah mendarat.

Abdul Latif 4

Abdul Latif tidak pernah menganggap dirinya ada kekurangan dan mahu berjaya seperti orang lain.

Akibatnya, Abdul Latif mengalami kecederaan di bahagian pangkal paha dan terpaksa dibawa menaiki kerusi roda.

Harga sebuah kemenangan yang cukup mahal, namun kesungguhan dan kejayaan itu sudah cukup membuatkan namanya harum di mata dunia selain satu Malaysia bersorak dan menyatakan rasa bangga dengan keazaman anak kelahiran Perlis ini.

Sebagai seorang Orang Kelainan Upaya (masalah pembelajaran), Abdul Latif memberitahu dia tidak pernah menganggap dirinya ada kekurangan dan sentiasa yakin bahawa dia juga boleh berjaya.

Imbaunya, sejak hari pertama dia mengambil keputusan bergelar atlet, ibu bapa dan keluarga tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat serta dorongan agar dia berjaya dalam bidang sukan.

Lompatan

Pelbagai rekod dunia berjaya dipecahkan Abdul Latif.

"Saya tidak mahu status saya ini menghalang diri dari mengejar impian. Doa dan dorongan keluarga membakar semangat saya untuk lebih fokus.

"Syukur, karier saya sebagai atlet mampu mengubah hidup saya dan dapat genggam pingat kemenangan," katanya di Instagram.

Pegangan dan usahanya itu nampaknya berbaloi apabila pada 8 Februari lalu, Abdul Latif dikurniakan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan.

Kurniaan pingat itu bukan sahaja mencerminkan dirinya sebagai salah seorang atlet terkemuka negara tetapi bukti pencapaian cemerlangnya di pentas sukan dunia.

Olimpik

Bersama pingat emas yang dimenanginya di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Sepanjang kariernya, Abdul Latif pernah memecahkan rekod dunia sebanyak tiga kali untuk memenangi acara lompat jauh (T20) kategori lelaki di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro pada 2016.

Berikut adalah 15 fakta menarik mengenai Abdul Latif!

1. Anak kelahiran Kampung Paya Kelubi, Arau, Perlis ini pernah mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Seri Tanjong, Beseri dan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi di Kangar.

2. Disebabkan menghidap ketidakupayaan intelektual (masalah pembelajaran) yang dikategorikan sebagai kurang upaya, Abdul Latif boleh membaca ketika usianya 15 tahun.

Zaman Sekolah

Sejak kecil Abdul Latif sudah menunjukkan bakat dalam bidang sukan.

3. Meskipun anak bongsu dari tujuh beradik namun Abdul Latif dikenali dalam kalangan keluarga dan kenalan rapat sebagai 'Pakcik'.

4. Pernah mewakili Perlis menerusi Sukan Malaysia (Sukma) pada 2014.

5. Ketika bertanding di Sukma 2016, Abdul Latif berjaya menumpaskan atlet normal dan seterusnya meraih pingat emas dan rekod baharu iaitu 7.46 meter meneerusi acara olahraga.

Bertunang

Sudah mengikat tali pertunangan dengan wanita pilihannya.

6. Abdul Latif melakar sejarah apabila bukan sahaja memenangi pingat emas menerusi acara lompat jauh T20 pada Sukan Paralimpik Rio de Janeiro 2016 di Brazil malah memecahkan tiga rekod dunia.

Rekod itu dipecahkan dalam tempoh sehari apabila melakukan lompatan 7.47 meter diikuti dengan 7.54 meter sebelum menamatkan dengan jarak 7.60 meter untuk memadam rekod lama dunia, 7.35 meter.

7. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menghadiahkan penerbangan percuma seumur hidup kepada Abdul Latif atas kejayaan cemerlang di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro pada 2016.

Rio

Bersama rakan atlet lain ketika di Rio 2016.

8. Beliau pernah menggondol pingat emas dalam acara lompat jauh pada Kejohanan Sukan Para Asia 2014, Asean Para Games 2015, Kejohanan Dunia Olharaga IPC 2015 dan Paralimpiad Sukma Sarawak 2016.

9. Pada 23 Oktober 2021, Abdul Latif mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihannya yang dikenali sebagai Nabila Farhana yang juga seorang guru dan pasangan itu sudah mengenali sejak zaman sekolah ketika sama-sama belajar di Sekoah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Kangar, Perlis.

Menurut ibunya, Salmah Yatim, 64, pasangan itu dijangka disatukan sebagai suami-isteri pada 2025.

Model

Pernah membuat kemunculan khas di pentas peragaan Minggu Fesyen Kuala Lumpur.

10. Atlet ini juga pernah bergelar model dengan menggayakan busana jenama Neonate dan Kamyaglow di Minggu Fesyen Kuala Lumpur tahun lalu.

11. Sehingga kini, Abdul Latif mempunyai hampir 90,000 pengikut di lnstagram dan banyak berkongsi gambar tentang kehidupan seharian sebagai atlet.

12. Pada Disember tahun lalu, Abdul Latif menerima trofi The Brandlaureate Brand Icok Leadership 2021 bagi kategori Sports Icon World of Sports Brand Icon Leadership Award.

Ikon

Mendapat pengiktirafan trofi The Brandlaureate Brand Icok Leadership 2021.

13. Ketika ini Abdul Latif sedang memberi tumpuan dalam sukan dan menyasarkan untuk menyertai Sukan Paralimpik di Paris pada 2024.

14. Anak jati Perlis itu kembali menjadi perhatian orang ramai di media sosial dengan perubahan wajahnya yang jauh lebih matang berbanding ketika Sukan Paralimpik Rio de Janeiro di Brazil pada tahun 2016.

15. Beliau kini muncul sebagai atlet pertama yang meraih RM2 juta wang ganjaran selepas meraih pingat emas dalam dua edisi Sukan Paralimpik.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain