suria

Sanggup berhabis ratusan ribu, usahawan belanja semua staf bercuti ke Switzerland... tanda hargai pengorbanan sepanjang pandemik

Chetapotpet bersama semua kakitangannya di Switzerland. Foto Instagram @chetapotpet_sdfounder

MENGUSAHAKAN perniagaan dalam suasana pandemik Covid-19 bukan perkara mudah malah sepanjang tempoh wabak yang berlaku pada awal 2020 itu telah memperlihatkan banyak syarikat gulung tikar sehingga menyebabkan ramai pekerja menganggur.

Bagi yang masih bertahan, ramai mula menggubah strategi dan cara bekerja dalam usaha memastikan perniagaan yang diusahakan terus berjalan dan mampu berdaya saing dalam suasana getir ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Pakej’ kacak dan bijak! Anak Malaysia bakal menyinar di pentas global selepas muncul naib juara pertandingan model antarabangsa

Bagi pengasas produk kecantikan Secret Desire, Rozita Baharom, dia juga tidak terkecuali berdepan dengan pelbagai kepayahan dan rintangan ketika pandemik sehingga perlu bergerak pantas dengan strategi berbeza agar perniagaan diusahakan tetap mampu bertahan.

Namun kata Rozita atau lebih mesra dengan gelaran Chetapotpet ini, di sebalik itu juga, resepi kejayaan bukan semata-mata terletak pada strategi tetapi kakitangan yang menggerakkan semua perancangan agar sasaran ditetapkan tercapai.

Bersama Staff

Chetapotpet bersama dua pekerja dan pengawal peribadinya.

"Seperti perniagaan lain, saya juga berdepan dengan cabaran dan rintangan tetapi semua itu berjaya saya lalui dengan bantuan dan dedikasi semua kakitangan yang tidak pernah berputus asa untuk melihat jenama Secret Desire terus maju.

"Tanpa mereka perniagaan saya mungkin tidak berada di tahap sekarang dan mereka juga adalah sumber kekuatan saya terutamanya dalam suasana pandemik ketika ini," katanya kepada mStar.

Belanja 16 staf bercuti di Switzerland

Sebagai menghargai pengorbanan dan kesungguhan semua16 kakitangannya sepanjang tempoh pandemik, Chetapotpet mengambil keputusan untuk membawa mereka bercuti ke luar negara bermula 20 Januari sehingga 1 Februari ini.

Bukan calang-calang destinasi, dedah Chetapotpet, dia memilih Switzerland sebagai destinasi percutian dan sanggup mengeluarkan belanja sebanyak RM350,000 bagi tujuan itu.

"Alhamdulillah, ini rezeki mereka... Banyak pengorbanan yang telah dilakukan dan ini sebagai sedikit penghargaan buat semua staf saya selepas dua tahun hanya bekerja dan tidak dapat ke mana-mana.

Laura Launa

Percutian itu turut disertai suami dan anak kembarnya, Laura dan Launa.

"Semua perbelanjaan untuk percutian ini ditanggung malah saya menyewa sebuah banglo dan kami duduk beramai-ramai di kediaman itu," katanya.

Percutian itu kata Chetapotpet turut disertai oleh suami, Mohd Rosli dan empat anaknya, Putra Danish Haikal, 13, Que Harrith Rayyan, 8 dan pasangan kembar, Elvira Laura dan Elvira Launa yang kini berusia tiga tahun.

Bercerita lanjut mengenai percutian itu, Chetapotpet nyata gembira dan bersyukur melihat wajah kesemua kakitangannya berseronok di Switzerland apatah salji masih tebal di negara itu.

Antara destinasi yang dilawati termasuklah Zurich, Interlaken, Grindelwald, Jungfraujoch, Lauterbrunnen dan Wilderswil yang cukup terkenal dengan pemandangan indah dan mempesonakan.

Nak jadikan percutian bersama staf acara tahunan, Makkah destinasi seterusnya

Bercerita lanjut mengenai kemurahan hatinya membawa kakitangan bercuti di luar negara, Chetapotpet berkata, itu bukan kali pertama, sebaliknya sebelum ini dia pernah membawa mereka ke negara seperti Jepun dan China.

cheta 3

Chetapotpet harap dapat menjadikan percutian bersama pekerja sebagai acara tahunan.

Malah katanya, percutian di Switzerland itu hanya sebagai hadiah 'kecil' kerana dia juga bercadang untuk membawa staf Secret Desire mengerjakan ibadah Umrah di Makkah tidak lama lagi.

"Insya Allah jika ada rezeki dan tarikh sesuai, perancangan seterusnya saya berhajat nak bawa semua pekerja mengerjakan Umrah.

"Pada saya rezeki yang ada ini juga adalah milik mereka dan apa salahnya saya gembirakan hati mereka dengan cara ini," ujarnya.

Chetapotpet juga memberitahu dia berharap percutian ke luar negara ini juga akan menaikkan lagi semangat pekerjanya untuk melakukan lebih baik pada masa hadapan.

Selain itu dia ingin menjadikan ia sebagai acara tahunan syarikatnya sebagai imbuhan kepada semua usaha keras kakitangannya.

Cheta 2

Suami dan anak-anak pemangkin semangat usahawan ini.

Sempat rakam muzik video!

Satu fakta menarik mengenai Chetapotpet, usahawan ini sebenarnya pernah mengeluarkan sebuah single berjudul Aku Yang Kau Mahu pada November 2020 dan merakamkan muzik video lagu itu di Bukit Tinggi, Pahang.

Pun begitu katanya, sambutan terhadap muzik video itu kurang memberangsangkan mungkin disebabkan ia dilancarkan ketika pandemik dan susulan itu dia mengambil keputusan untuk merakamkan muzik video baharu di Switzerland.

"Alang-alang sudah berada di Switzerland dan banyak lokasi menarik, jadi saya ambil peluang untuk rakam muzik video sekali di sana. Ia diarahkan oleh Ariff Nazrin dan InsyaAllah akan dilancarkan dalam masa terdekat," katanya yang turut menggubah melodi dan lirik lagu itu bersama Aepul Roza.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain