suria

Siapa sangka dulu OKU ini tokan dadah, kini imam surau

Nor Effendi Abd Rahim seorang bekas tokan dadah kini sudah berubah dan menjalani kehidupan diredai Allah. - Foto BERNAMA

TIGA tahun menjalani hukuman di Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang cukup menginsafkan Nor Effendi Abd Rahim, bekas tokan dadah yang seterusnya membulatkan tekad untuk berubah ke arah lebih baik apabila tamat tempoh hukuman itu.

Lelaki berusia 33 tahun itu yang sepatutnya menjalani hukuman penjara enam tahun dan dikenakan 10 sebatan kerana mengedar dadah jenis syabu di negeri yang juga dikenali sebagai Pulau Mutiara pada 2016. Bagaimanapun nasib menyebelahinya apabila diberikan parol selama setahun, seterusnya dibebaskan tahun lepas.

"Berada di dalam penjara banyak memberi kesedaran terutama dengan adanya pelbagai program keagamaan seperti ceramah oleh ustaz dan ia membuatkan saya mula mendekatkan diri dengan Allah. Sebelum ini solat tidak cukup waktu tetapi kini saya berubah, solat dah cukup, mula mengaji al-Quran dan hampir habis baca tafsir al-Quran dalam tempoh tiga tahun itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Terjebak kancah jenayah kerana nafsu duit segera, anggota keselamatan kongsi saat terima hidayah di sebalik tirai besi

"Detik yang membuatkan saya terus insaf ketika bercakap di telefon kepada isteri, anak-anak, ibu serta ayah, mereka beritahu tidak ada duit nak makan, sedangkan saya di dalam penjara dapat makan seperti biasa. Saya berdoa kepada Allah supaya dipermudahkan dengan diberi parol supaya dapat balik untuk bersama ahli keluarga seterusnya bantu mereka," katanya.

Nor Effendi berkata demikian kepada pemberita semasa program santai bersama Orang Diparol (ODP) Akademi Koreksional Malaysia, Langkawi di kediamannya di Kampung Dato' Syed Nahar.

Sebelum ini solat tidak cukup waktu tetapi kini saya berubah, solat dah cukup, mula mengaji al-Quran dan hampir habis baca tafsir al-Quran dalam tempoh tiga tahun itu.

NOR EFFENDI ABD RAHIM

IMAM SURAU

Turut hadir Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.

Nor Effendi yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) fizikal (kecacatan tangan kiri dan masalah pada kaki kiri) tidak menyangka diberi kepercayaan menjadi imam selepas tujuh hari pulang ke kampung.

"Majlis Pengurusan Komuniti Kampung mahu membuka semula surau itu, tetapi tidak ada imam. Mereka kemudian tawarkan kepada saya, dengan ilmu yang diperolehi semasa menjalani hukuman penjara saya galas tanggungjawab itu. Alhamdulillah sudah lebih setahun amanah ini digalas," katanya.

Nor Effendi kini menjalankan perniagaan roti canai di Pasar Awam Kuah bagi menampung kehidupan bersama isterinya Hidayani Ibrahim, 44, serta tiga cahaya mata berusia antara sembilan hingga 20 tahun.

"Isteri, anak-anak serta ibu bapa sentiasa menyokong saya untuk berubah dan buang perangai lama. Sekarang selepas selesai berniaga, saya habiskan masa bersama keluarga dan duduk di surau. Saya elakkan diri daripada melepak di kedai atau bercampur gaul dengan rakan-rakan lama.

"Berkenaan penerimaan masyarakat, saya akui pada awal mereka sukar terima seorang bekas pengedar dadah berada dalam kalangan mereka, namun ia berubah perlahan-lahan apabila melihat kepada perubahan saya, kini masyarakat sudah boleh terima," katanya. - BERNAMA



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain