suria

Tak perlu bergantung dengan ubat... Makanan pun boleh bantu tingkatkan imun badan, pilih yang berkhasiat

Probiotik juga terkandung dalam makanan. -Gambar hiasan The Star

TERDAPAT pelbagai faktor untuk anda jatuh sakit termasuk disebabkan oleh perubahan cuaca.

Bagi ramai antara kita, pengambilan ubat-ubatan dapat membantu mengurangkan masalah yang dialami.

Namun pada masa sama kita tidak mempedulikan kesan sampingan.

Justeru, pakar pemakanan berdaftar Rhiannon Lambert mendedahkan, beberapa jenis makanan lain yang berfungsi untuk meningkatkan sistem imun tubuh.

"Tiada makanan atau suplemen yang akan memberi perlindungan daripada penyakit yang disebabkan oleh bakteria, virus dan faktor lain.

“Tapi mengambil pelbagai makanan berkhasiat yang mengurangkan keradangan dan meningkatkan aktiviti antioksidan pasti boleh membantu menyokong sistem imun anda,” ujarnya.

probiotik

1. Makanan probiotik

Yogurt atau sauerkraut bukanlah pilihan pertama setiap orang apabila mereka sakit.

Bagaimanapun makanan probiotik ini dapat membantu menyokong kesihatan usus kerana mengandungi bakteria hidup.

"Kira-kira 70 peratus daripada sistem imun kita berada di dalam usus, jadi mengekalkan keseimbangan bakteria yang baik dalam usus boleh membantu menyokong fungsi imun,” jelas Rhiannon.

oren

2. Makanan kaya antioksidan

Terdapat banyak buah-buahan dan sayur-sayuran yang boleh berfungsi dengan baik apabila anda tidak sihat, begitu juga coklat.

Rhiannon berkata memasukkan beberapa makanan kaya antioksidan ke dalam diet apabila berada dalam keadaan sakit adalah idea yang baik.

"Ia boleh menyumbang kepada mengurangkan tekanan oksidatif (sambil) menyokong sistem imun dan meredakan keradangan,” katanya.

Makanan sedemikian termasuk buah-buahan seperti blueberry, raspberi dan oren.

Sementara itu, sayur-sayuran seperti brokoli, bayam dan lobak merah boleh membantu termasuk teh hijau dan coklat gelap.

bawang putih

3. Bawang putih

Ternyata bawang putih bukan sahaja menjadi penyedap rasa dalam makanan, malah ia juga membantu meningkatkan sistem imun anda.

Ini kerana sifat mikrob di dalamnya mengandungi allicin.

Menurut Rhiannon, beberapa penyelidikan mencadangkan unsur mikrob bawang putih berfungsi untuk memerangi bakteria dan virus yang sering dikaitkan dengan penyakit seperti selsema.

halia

4. Halia

Rhiannon berkata halia mempunyai sejarah sebagai ubat herba untuk penyakit.

Bahan dapur ini sangat baik untuk membantu masalah loya atau sakit perut.

Tambahkan saja pada semua jenis makanan, daripada kari hingga sup, malah minuman juga.

echinacea

5. Echinacea

Mungkin anda tidak pernah mendengar tumbuhan ini.

Namun echinacea merupakan ubat herba yang biasanya digunakan bagi menyokong sistem imun untuk mengurangkan gejala demam dan selesema yang dialami.

Bagi masyarakat dahulu, tumbuhan ini dijemur sehingga kering dan dijadikan teh.

Jika anda gemar mengambil ubat-ubatan dan suplemen, apa kata beralih kepada tumbuhan herba yang pastinya lebih baik untuk tubuh dan bebas kimia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain