suria

Busuknya lain macam! Awas, najis berbau mungkin disebabkan masalah kesihatan tak disedari

Ada pelbagai sebab yang meyebabkan najis berbau berlainan daripada biasa. Gambar hiasan

SECARA dasarnya setiap najis berbau busuk tetapi kebiasaannya baunya berbeza-beza dan ia boleh menggambarkan keadaan kesihatan seseorang.

Pakar Gastroenterologi, Dr Marvin Singh menjelaskan najis adalah kotoran tubuh yang keluar melalui saluran pencernaan yang terdiri daripada air, mikroorganisme mati, bahan makanan yang tidak dapat dicerna, lemak, kolesterol dan beberapa komponen kecil lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Zakar gagal ereksi, kepala jadi botak mungkin tanda hormon testosteron anda rendah... ini 7 petandanya!

Disebabkan itu kata Dr Marvin, najis berbau busuk kerana tubuh mengeluarkan 'sampah' selain ia boleh disebabkan oleh beberapa keadaan tertentu.

"Bau ini sebenarnya berasal daripada makanan yang tidak dicerna serta gas yang dihasilkan oleh bakteria dalam usus," katanya.

Dr Marvin memberitahu gas penyebab bau paling umum disebabkan oleh kehadiran hidrogen sulfida yang memiliki sulfur berbau, metil sulfida dan benzopyrrole volatil.

Bagaimanapun jelasnya, jumlah gas pada najis dan baunya bergantung kepada apa yang seseorang individu itu makan dan tahap kesihatannya.

"Sebagai contoh, daging boleh menyebabkan najis lebih berbau busuk kerana protein itu kaya dengan asid amino yang mengandungi sulfur yang berbau," katanya.

Apa penyebab dan faktor yang membuatkan najis seseorang berbau busuk?

1. Pengambilan antibiotik

Usus manusia memiliki bakteria yang merupakan kumpulan mikroorganisme yang membantu memecahkan makanan.

"Ketika kita makan ubat antibiotik, ia dapat mengubah bakteria untuk tertumpu kepada benda lain berbanding kebiasaannya," katanya.

Perubahan itu, jelas Dr Marvin turut menyebabkan perubahan bau pada najis.

2. Jangkitan

Jangkitan seperti bakteria, virus atau parasit juga akan mengganggu bakteria pada usus sekali gus mempengaruhi sistem penghadaman.

Bukan setakat mengganggu, ia turut menyebabkan sakit perut dan mengubah gas pada najis dan menimbulkan bau lebih busuk daripada kebiasaan.

3. Elergi

Ketika seseorang mengalami elergi terhadap sesuatu makanan, tubuh tidak dapat memproses bahan tertentu dengan baik.

Ia akan menyebabkan kombinasi gas dihasilkan oleh bakteria yang cuba memecahkan bahan itu tidak dapat dicerna dengan baik yang pada akhirnya menyebabkan bau kurang menyenangkan.

4. Menghidap penyakit celiac

Penghidap penyakit celiac biasanya kebal terhadap makanan gluten, protein dalam gandum yang memberi kesan kepada lapisan usus kecil.

Kerosakan pada lapisan usus dapat membuatkan seseorang sukar menyerap nutrisi dan akhirnya mengalami masalah sembelit, cirit-birit, perut kembung termasuk najis yang dikeluarkan berbau busuk.

5. Keradangan usus

Keradangan usus adalah istilah umum yang digunakan untuk menggambarkan beberapa keadaan autoimunisasi seperti penyakit crohn dan kolitis ulserativa.

Keradangan usus dengan kolitis ulserativa dapat mengubah bakteria pada usus dan menyebabkan pendarahan dan menyebabkan najis berbau busuk.

Jika sedar najis berbau lebih busuk berbanding kebiasaan untuk tempoh tertentu, Dr Marvin menyarankan agar pesakit segera berjumpa dengan doktor.

Terdapat beberapa tip yang boleh dilakukan agar najis tidak terlalu berbau busuk.

1. Pilihan pemakanan

Jika anda penggemar bawang putih dan bawang merah, ia adalah antara penyebab najis berbau. Bagaimanapun sebenarnya agak sukar untuk mengetahui punca sebenar najis berbau busuk.

"Ada baiknya kita membuat catatan harian tentang apa yang kita makan. Ini dapat membantu kita mengesan punca bau tersebut," katanya.

Pesannya lagi, seseorang juga perlu mengambil kira makanan dengan gluten dan produk tenusu yang boleh menjadi punca najis berbau.

Selain itu, daging, telur, brokoli, kobis dan asparagus katanya cukup terkenal sebagai penyebab najis berbau.

2. Pengambilan probiotik

Probiotik dapat membantu memulihkan keseimbangan bakteria sihat pada usus selain membantu menghilangkan bau tidak sedap pada najis.

3. Minum lebih banyak air

Hidrasi dapat membantu menghilangkan bau busuk pada najis dan sebab itu amalan minum lebih banyak air putih sangat disarankan terutamanya bagi kesihatan usus.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain