suria

Segeralah ke tandas kalau rasa nak berak, kalau ditahan ada risiko pada kesihatan

Jangan tahan buang air besar kerana ia boleh memberi kesan kepada kesihatan.

MENAHAN sakit perut barangkali adalah situasi yang paling sukar bagi sesiapa pun apatah lagi ketika berada dalam situasi mencemaskan seperti terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Sampaikan ada yang berpeluh-peluh dan meremang bulu roma ketika berada dalam situasi itu namun tiada pilihan selain menahannya!

ARTIKEL BERKAITAN: Sesiapa saja berisiko! Ketahui bagaimana batu karang terbentuk dan cara mengatasinya

Kita mungkin mampu menahan rasa sakit perut namun adakah kebiasaan seperti itu boleh memberi kesan kepada kesihatan?

Pakar gastroenterologi, Dr Sameer Islam menjelaskan terdapat beberapa masalah boleh berlaku apabila seseorang kerap menahan sakit perut untuk membuang air besar.

Jelas Dr Sameer, tindakan itu boleh menyebabkan masalah sembelit apabila tubuh seseorang sudah terbiasa dengan signal menahan membuang air besar. Itu juga menyebabkan seseorang akan sukar membuang air besar.



Menahan sakit perut adalah perkara menyiksakan.

"Apabila kita mengalami sakit perut yang teruk tetapi menahannya, ia akan memberi singal yang salah kepada tubuh dan kesannya akan berpanjangan.

"Otot-otot di bahagian rektum tidak bekerja dengan betul dan kerana dapat signal untuk tidak bekerja, inilah yang membuatkan kita mengalami sembelit dan sukar membuang air besar," katanya.

Sementara itu, Dr Sameer turut menjelaskan beberapa mitos mengenai tabiat itu termasuk kotoran yang berkumpul dapat menjadi racun serta membahayakan tubuh.

Namun katanya, kotoran yang berkumpul pada usus tidak akan menghasilkan racun dalam tubuh dan tiada penyakit khusus akan berlaku.

Sebaliknya, Dr Sameer menekankan menahan diri daripada membuang air besar boleh menyebabkan sakit perut yang parah.

"Sebaik-baiknya, jaga jadual untuk membuang air besar dan jadikan ia kebiasaan agar terhindar daripada kesan buruk pada kesihatan anda," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain