8 perkara anda wajib tahu untuk elak jadi 'tetamu' hospital Syawal ini - Famili | mStar

8 perkara anda wajib tahu untuk elak jadi 'tetamu' hospital Syawal ini

Anda boleh mengelak daripada mengunjungi jabatan kecemasan jika melakukan persediaan seperti yang dinasihatkan. - Gambar hiasan/Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Kuala Lumpur

SEPERTI tahun-tahun sebelumnya, negara kita tidak pernah sunyi daripada tragedi yang berlaku pada musim perayaan.

Pada waktu ini, jabatan kecemasan di hospital seluruh negara akan dibanjiri dengan pelbagai kes sehingga membuatkan kakitangan dan pakar perubatan tidak menang tangan.

Doktor Perubatan Kecemasan di Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Ahmad Zakimi Abdullah berkongsi lapan perkara yang anda boleh elak daripada menjadi 'tetamu' di jabatan kecemasan pada musim perayaan ini.

1. Stok ubat cukup

Pesakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, sakit jantung, asma dan lain-lain hendaklah memastikan semua ubat yang diperlukan dibawa pulang ke kampung.

Jika anda kehabisan stok ubat, sila ambil atau sambung terus ubat-ubatan di klinik dan pastikan ia mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

Jangan datang ke jabatan kecemasan semata-mata untuk mengambil atau menyambung ubat.

2. Kemalangan jalan raya


Pandulah berhati-hati pada musim perayaan ini. - Foto Bernama

Berhati-hati memandu di jalan raya memandangkan aliran trafik akan meningkat berkali ganda berbanding biasa pada musim perayaan ini.

Pastikan juga keadaan kenderaan diselenggara dengan baik agar masalah perjalanan pulang ke kampung lebih lancar.

3. Kemalangan di rumah

Jangan sangka kemalangan tidak boleh berlaku di rumah terutamanya golongan wanita yang sibuk menyediakan juadah hari raya di dapur.

Sila periksa dan pastikan tiada kebocoran gas yang boleh mengundang letupan dan kebakaran.

Bagi yang akan meninggalkan kediaman di kota, sila cabut kepala gas dan mematikan semua suis sebelum pulang ke kampung halaman.

4. Mercun

Pastikan anak-anak anda menjauhkan diri daripada mercun yang berbahaya.

Jangan biarkan mereka bermain bunga api atau mercun tanpa pengawasan kerana anda pasti tidak mahu anak kesayangan terlibat dalam kejadian yang tidak diingini.

5. Darah tinggi dan kencing manis yang tidak terkawal


Pesakit kencing manis perlu memastikan bekalan insulin yang dibawa mencukupi. - Foto AP

Jangan tinggalkan rumah selagi ubat-ubatan yang diperlukan tidak dibawa bersama. Pesakit juga harus mengambil ubat mengikut aturan dan arahan daripada doktor, selain menjaga pemakanan semasa menikmati juadah hari raya.

Pesakit diabetes dinasihatkan agar mengelak daripada menjamah makanan yang mengandungi kadar gula yang tinggi.

"Ingat sikit kalau nak makan kuih raya. Mereka buat tu guna gula berkilo-kilo tau!

"Bagi pesakit darah tinggi pula, elakkan daripada makan makanan yang masin (tinggi kandungan garam) dan berkolestrol tinggi," nasihat beliau.

6. Keracunan makanan dan jangkitan usus

Pastikan makanan dan minuman yang dimasukkan ke mulut adalah bersih dan bebas kuman.

Jangan terlalu gelojoh menikmati hidangan hari raya tanpa mempedulikan aspek kebersihan.

7. Minta sijil sakit (MC)


Bagi yang terpaksa bertugas di hari raya, jangan berpura-pura sakit semata-mata ingin mendapatkan sijil sakit. - Foto Star

"Kami pastinya akan keluarkan MC, tetapi hanya untuk mereka yang betul-betul sakit dan perlu berehat.

"Bagi pesakit yang dengan sengaja ingin mendapatkan MC, minta maaf ye, hasrat anda sememangnya tidak akan dilayan.

"Kami ni doktor yang berpengalaman dan tahu yang mana kaca atau permata. Harap maklum," tegas Dr Ahmad Zakimi.

8. Penyakit berjangkit

Penyakit seperti jangkitan respiratori (acute pharyngitis, acute tonsilitis, pneumonia), difteria, campak, cacar air, penyakit kaki, tangan dan mulut mudah merebak pada musim perayaan ini.

Beberapa perkara yang perlu anda amalkan adalah seperti:


Gunakan pembersih tangan untuk elak dijangkiti bakteria. - Foto Use of Hand Sanitizer

a. Jaga kebersihan diri dengan membasuh tangan menggunakan sabun atau pembersih tangan (hand sanitizer) dan mandi sekiranya perlu.

b. Jangan benarkan tetamu mencium atau bermain dengan anak kecil yang belum divaksin tanpa kebenaran ibu bapa.

c. Elakkan daripada mendekati golongan yang tidak divaksin (anti-vaksin).

Kalau boleh, elakkan mengunjungi atau menerima kunjungan golongan ini kerana mereka berpotensi membawa penyakit berjangkit.

jabatan kecemasan

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain

Tommy Thomas letak jawatan Peguam Negara